SHAH ALAM - Teka-teki sama ada penyanyi dangdut, Baby Shima akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) masih lagi menjadi tanda tanya susulan perkongsian videonya di laman Instagram pada Selasa.
Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli berkata, dia membatalkan hasratnya hendak bertanding dalam PRN sekiranya ditempatkan di Kelantan.
"Alamak kalau macam itu, maaf YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Shima tidak jadi nak bertanding.
"Maaf semua tak jadi nak tanding,” katanya dalam ruangan perkongsian video pada Selasa.
Menerusi video tersebut, Baby Shima sedang bertanya kepada bekas Ketua Pemuda UMNO itu mengenai negeri mana sesuai untuk bertanding dalam PRN akan datang.
Khairy menjawab pertanyaan tersebut dengan mencadangkan Kelantan sebagai lokasi sesuai untuk Baby Shima.
"Saya rasa Shima sesuai (bertanding) di Kelantan,” jawabnya.
Pada Isnin, Baby Shima mengumumkan dirinya akan bertanding pada PRN tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Baby Shima tidak memaklumkan parti mana yang akan diwakilinya nanti.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 5 Julai lalu menetapkan PRN di enam negeri diadakan serentak dengan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian, manakala 29 Julai sebagai hari penamaan calon.
Sementara itu, hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos ini.