KULIM - Seorang pegawai risikan operasi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menerima 36 jahitan di dada manakala seorang anggotanya dikenakan lima jahitan di kaki akibat kecederaan ketika cuba menahan seorang suspek kes curi pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd Redzuan Salleh berkata, kejadian pada jam kira-kira 10.45 pagi di Taman Selasih itu berlaku apabila sepasukan polis mendekati seorang lelaki yang dikatakan baru sahaja terlibat kes kecurian di sebuah pasar raya.
Menurutnya, pegawai risikan yang mengetuai operasi dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulim itu telah ke lokasi dan mendapati suspek melarikan diri menggunakan motosikal.
"Terlebih dahulu kita telah nampak suspek berhenti di hadapan sebuah rumah dan semasa pegawai memperkenalkan diri sebagai polis, suspek berusia 82 tahun telah mengambil objek di dalam raga motosikal.
Jelas Mohd Redzuan, seorang anggota lain cuba menahan suspek sebelum berlaku pergelutan sehingga menyebabkan mangsa juga mengalami kecederaan di kaki.
Katanya, kedua-dua mangsa berusia 30-an telah dibawa menerima rawatan ke Hospital Kulim dengan di mana pegawai risikan menerima 36 jahitan di dada manakala anggotanya menerima lima jahitan di kaki kiri.
Suspek bagaimanapun telah berjaya ditahan selepas bantuan tiba.
"Sebilah pisau pemotong kertas telah dirampas termasuk barangan curi daripada pasar raya berkenaan.
"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau namun ujian air kencing mendapati bebas daripada pengaruh dadah," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda dan maksimum 10 tahun penjara.