SHAH ALAM - Gabungan parti politik di bawah naungan Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mempunyai identiti serta tradisi yang tersendiri.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, apabila berada di bawah kerajaan kini, perkara utama yang perlu dilakukan ada saling menghormati fahaman sesebuah parti politik.
"Kita hormat dan faham perbezaan yang ada seperti UMNO, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai tradisi serta kekuatan yang tersendiri.
Beliau berkata demikian menerusi Program Keluar Sekejap yang dihoskan Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, pada Selasa.
Tambah Ahli Parlimen Setiawangsa itu, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa perkara yang mempunyai pandangan berbeza daripada parti lain, namun ia diterima baik oleh mereka.
Katanya, UMNO mempunyai penerimaan baik terhadap pendekatan yang mahu diambil oleh PH.
Bukan itu sahaja, Nik Nazmi turut menyifatkan bahawa pendekatan yang diambil oleh DAP kali ini lebih membantu kerana ia bersifat fleksibel dan realistik.
Pada masa sama, beliau memberitahu bahawa PKR mempunyai nilai reformasi dan seterusnya merupakan sebuah parti berbilang kaum yang paling berjaya di Malaysia.