Usah berjanji bulan dan bintang ketika kempen

Iklan
Pengundi harapkan manifesto yang realistik, menepati keperluan rakyat dan tentunya bukanlah sekadar tawaran semata-mata. - Gambar hiasan

BERBAKI beberapa hari sahaja menjelang hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada 29 Julai ini.

Kebanyakan parti sudah mengumumkan calon mereka manakala ada mengambil pendekatan untuk mengumumkannya sedikit lewat, mengundang debar bukan sahaja kepada yang bercita-cita menjadi ‘Yang Berhormat’, tapi juga kepada rakyat di kawasan mereka.

Iklan
Iklan

Melihatkan kepada senarai yang diumumkan, boleh dikatakan ramai muka baharu yang diharap boleh memberikan dimensi dan idea yang lebih segar kepada pengundi.

Barisan Nasional (BN) misalnya, menampilkan 63 peratus calon muka baharu dan mengumumkan akan bertanding di 107 kerusi daripada 245 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Iklan

Daripada jumlah itu, kira-kira 60 peratus dianggap muka baharu kerana tidak pernah bertanding, 20 peratus lagi adalah penyandang dan baki 20 peratus pula adalah mereka yang dikatakan calon kitar semula termasuk yang pernah bertanding tetapi tewas.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menamakan 58 calon untuk bersaing pada PRN kali ini, dengan 41 muka baharu dipertaruhkan parti itu manakala 16 calon lagi adalah penyandang kerusi yang dikekalkan.

Iklan

Beberapa parti lain juga mengambil pendekatan yang sama, namun perkiraan sebenar tentunya sewaktu hari penamaan calon yang akan menentukan siapakah calon sebenar yang akan bertarung pada 12 Ogos depan.

MANIFESTO JANGAN SEKADAR JANJI

Selain calon, perkara yang paling dinanti-nantikan tentunya tawaran manifesto oleh parti-parti bertanding kepada pengundi mereka.

Kebanyakan parti sudah di peringkat akhir persiapan dan tentunya ia mendukung kepentingan semua segmen masyarakat.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), majoriti daripada 9,773,571 pemilih layak mengundi pada enam PRN kali ini membabitkan pengundi berusia antara 21 hingga 29 tahun.

Pemilih dalam lingkungan usia berkenaan adalah seramai 2,169,120 atau 22.19 peratus diikuti pengundi berusia antara 30 hingga 39 tahun iaitu seramai 2,163,982 orang atau 22.14 peratus.

Pengundi berusia 40 hingga 49 tahun adalah seramai 1,695,876 orang (17.35 peratus) disusuli pemilih berusia 50 hingga 59 tahun iaitu seramai 1,380,446 orang (14.12 peratus) dan seramai 1,035,257 pengundi berusia antara 60 hingga 69 tahun (10.59 peratus).

Justeru, demografi pengundi ini sudah tentu diambil kira apabila parti-parti yang bertanding merangka manifesto.

Pas Terengganu misalnya, mengemukakan 10 janji manifesto jika parti itu berjaya mengekalkan pentadbiran pada PRN kali ini.

Antara yang ditawarkan adalah menaja caruman skim keselamatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk suri rumah, menyediakan kemudahan pinjaman pembelian motosikal tanpa riba maksimum RM4,000 dan insentif pengembangan perniagaan kepada peniaga yang membuka cawangan di Terengganu bagi meningkatkan lagi peluang pekerjaan.

Walau apa jua janji yang dikemukakan, pastinya apa yang pengundi harapkan adalah manifesto itu haruslah realistik, menepati keperluan rakyat dan tentunya bukanlah sekadar tawaran semata-mata.

Di sebalik anggapan sesetengah pihak bahawa manifesto bukan lagi menjadi pertimbangan utama dalam memangkah undi, ada kalangan pengundi melihatnya sebagai janji yang harus ditepati dan menjadi ukuran prestasi buat wakil rakyat dan parti yang dipilih.

Justeru, janganlah mengkhianati pengundi dengan tawaran yang tidak masuk akal dan sekadar berjanji sehingga pada akhirnya mereka ‘fobia’ dengan pemimpin ‘bermulut manis’.

Jangan salahkan rakyat apabila mereka mula memberontak dan menuntut wakil rakyat menunaikan janji dan khabar indah yang ditawarkan.

Rakyat kini sudah matang untuk menentukan mana yang betul atau tidak dan ahli politik perlu beretika serta bijak menawan hati rakyat.

Manifesto perlu dilihat dengan lebih serius, bukan sekadar janji umpama menanam tebu di tepi bibir, sebaliknya memastikan ia dapat dilaksanakan dan sampai kepada golongan sasaran.

*Farah Shazwani Ali ialah Wartawan Sinar Harian Nasional