TINDAKAN India menghentikan eksport beras putihnya minggu lalu harus dilihat sebagai amaran kepada Malaysia supaya tidak lagi bergantung kepada beras import yang semakin mahal disebabkan inflasi dalam pasaran makanan global.
India mengenakan larangan import ke atas beras bukan basmati selepas harga beras runcit meningkat di negara itu, selain berlaku kerosakan besar-besaran pada tanaman akibat hujan monsun.
Walaupun Malaysia mengimport lebih banyak beras dari Thailand dan Vietnam, langkah meningkatkan pengeluaran dalam negara termasuk melaksanakan penanaman padi dua tahun lima kali seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini adalah lebih baik dan wajar disegerakan.
Penanaman padi setiap lima bulan itu sebenarnya sudah dilaksanakan di Sekinchan, Selangor mengikut standard tertentu, dan terbukti mampu mengeluarkan hasil antara tujuh hingga 10 tan padi bagi sehektar setiap musim.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, purata pengeluaran padi semasa hanya lima tan sehektar semusim.
Kini tiba masanya teknik dan standard penanaman padi di Sekinchan itu diperluas ke seluruh negara bagi menampung keperluan 32 juta penduduk, yang sekarang masih bergantung lebih 30 peratus kepada beras import.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, negara mengeluarkan 1.67 juta tan beras pada 2021 dan mengimport 1.06 juta tan. Majoriti beras import ialah beras putih dan bakinya beras khusus yang sukar ditanam di negara ini seperti basmati. Secara purata, setiap rakyat Malaysia menggunakan 79 kilogram beras setahun.
Langkah membuat lebih banyak musim penanaman adalah lebih praktikal kerana kawasan tanaman padi di seluruh negara adalah seluas kira-kira 700,000 hektar sahaja jika dibandingkan dengan keluasan tanaman padi di Thailand dan Vietnam, masing-masing adalah seluas 10 juta hektar dan 7.5 juta hektar.
Salah satu hambatan rancangan menanam padi dua tahun lima musim berkenaan adalah keperluan menyediakan infrasruktur yang dijangka menelan kos sebesar RM3 bilion. Peruntukan itu adalah bagi membangunkan kemudahan seperti menaik taraf jalan, tali air dan saliran sawah.
Bagaimanapun, ia adalah rancangan jangka panjang bagi mengurangkan trend mengimport beras, mengambil kira ancaman sekuriti makanan yang dihadapi dunia sekarang disebabkan perubahan iklim dan konflik politik.