PENYANYI Aina Abdul sentiasa terbuka menerima teguran dan kritikan pelbagai pihak terhadap penampilan gayanya yang pelik dan unik setiap kali muncul di acara hiburan.
Terbaharu, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, sekali lagi dikritik hebat gara-gara penampilannya yang dikatakan agak berlebihan ketika muncul di acara karpet merah Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABPBH35) di Istana Budaya baru-baru ini.
"Selalunya saya jarang sekali luah isi hati. Tapi hari ini saya terpanggil nak tulis sesuatu. Ya benar saya ada melihat dan membaca (teguran) tersebut.
"Saya baca semua dan telitikan perkara itu. Saya renungkan setiap teguran yang masuk,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram Story miliknya.
Tidak pernah melatah dengan setiap kritikan diterima, penyanyi lagu Terus Hidup itu mengucapkan terima kasih dan menghargai setiap sokongan dan teguran membina terhadap dirinya.
"Terima kasih kepada semua yang ambil berat, menegur untuk kebaikan, meninggalkan mesej yang baik dan membina. Saya sangat hargai. Alhamdulillah.
Terdahulu, penyanyi berusia 30 tahun itu mencuri perhatian ramai apabila tampil menggayakan blazer gergasi berona merah hati selebar empat kaki di acara karpet merah di ABPBH35.
Dalam masa sama, seorang pendakwah bebas juga tampil menegur berkenaan penampilan sesetengah selebriti yang dilihat berlebih-lebihan dalam berfesyen ketika hadir di sesebuah acara.
Jelas pendakwah tersebut, meskipun menutup aurat, pakaian sedemikian dilarang dalam Islam dan termasuk dalam kategori Libas al-Syurah (pelik sehingga mengundang perhatian).
Meski tidak menyebut nama mana-mana selebriti secara khusus, ramai warganet mendakwa ia ditujukan kepada Aina.
ARTIKEL BERKAITAN:Naik lori ke ABPBH35, blazer gergasi Aina jadi bualan hangat