SEPANG - Sebanyak 130 kilogram (kg) mangga bernilai RM700 dibawa masuk secara tidak sah dari Bangladesh dirampas menerusi pemeriksaan dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) pada Selasa.
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dalam satu kenyataan berkata, mangga tersebut dikesan dibawa masuk tanpa mempunyai dokumen yang sah seperti Import Permit dan Sijil Fitosanitasi.
"Pemeriksaan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dijalankan di laluan antarabangsa penumpang pada jam 2 pagi itu mendapati jumlah kuantiti yang telah ditahan sebanyak 130 kg yang dianggarkan bernilai RM700.
"Mangga terbabit dibawa masuk dua lelaki warga Bangladesh dan kemudiannya ditahan untuk dilupuskan," katanya pada Rabu
Menurutnya, langkah ini diambil bertujuan mengawal kemasukan perosak dan penyakit yang boleh merosakkan industri pertanian dalam negara.
"Sekiranya tidak dikawal dengan sebaiknya ia boleh mengakibatkan kerajaan menanggung kerugian yang tinggi.
"Perbuatan membawa masuk buah mangga tanpa permit yang sah dari (Maqis) adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3), Akta yang sama," katanya.
Maqis berkata, pemeriksaan akan sentiasa dijalankan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi pertanian yang masuk ke Malaysia mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.
"Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat dimakan oleh rakyat Malaysia," katanya.