PARIS St Germain (PSG) menjangkakan tawaran lebih lumayan untuk Kylian Mbappe dari kelab lain pada beberapa hari akan datang selepas Al Hilal mengemukakan bidaan rekod dunia £259 juta (RM1.53 bilion).
PSG difahamkan telah memberi kebenaran kepada pemain berusia 24 tahun itu untuk membincangkan syarat peribadi dengan Al Hilal selepas mereka menyerahkan tawaran itu secara bertulis.
Bagaimanapun, sumber yang rapat dengan kelab Perancis itu berkata, bidaan lanjut juga mungkin akan ditawarkan tetapi mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk dibincangkan kerana ia berkemungkinan melibatkan elemen pertukaran pemain.
Chelsea, Manchester United, Tottenham, Inter Milan dan Barcelona telah menyatakan minat terhadap Mbappe sejak dia tidak menyertai jelajah pramusim pada hari Jumaat, kata sumber.
Masa depan Mbappe di PSG diragui selepas pemain itu pada Jun berkata, dia tidak akan melanjutkan perjanjian sedia ada hingga 2025.
Ia bermakna Mbappe akan menjadi ejen percuma musim panas depan dan boleh membincangkan perjanjian prakontrak dengan kelab lain seawal Januari tahun hadapan.
PSG difahamkan mengetahui bahawa Mbappe telah pun bersetuju untuk perpindahan percuma ke Real Madrid pada musim panas akan datang.
Minat Al Hilal terhadap pemain itu akan memberikan pilihan sama ada dia mahukan gaji yang lebih tinggi selain PSG akan cuba memujuk Mbappe menerima tawaran kelab Arab itu untuk mendapatkan yuran tandatangan yang tinggi.