Tanah mendap, jerlus punca kontena hempap pemandu Kancil

Iklan
Seorang lelaki maut dihempap kontena tanpa kepala dalam kejadian di Jalan Dato Yusof Shahbudin, Taman Sentosa pada Selasa.

KLANG - Kawasan tanah mendap dan jerlus dipercayai menjadi punca sebuah kontena terbalik lalu menghempap seorang lelaki bersama kereta miliknya dalam kejadian di Jalan Dato Yusof Shahbudin, Taman Sentosa dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian kira-kira jam 5.09 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan mendapati kontena tanpa kepala itu diletakkan di tepi jalan di lokasi kejadian untuk kerja-kerja pemunggahan barang.

"Mangsa dipercayai meletakkan kenderaannya itu bersebelahan dengan kontena tersebut untuk membeli makanan di restoran berhampiran.

Iklan

"Siasatan mendapati mangsa ternampak kontena terbabit sedikit condong sebelum bertindak mengubah kenderaannya itu ke kawasan lain," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun, Hoong Fong berkata, mangsa tidak sempat berbuat demikian apabila kontena terbabit kemudiannya terbalik lalu menghempap mangsa dan keretanya.

Iklan

"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan," ujarnya.

Dalam pada itu, Hoong Fong berkata, keadaan tanah mendap dan jerlus dipercayai mengakibatkan kontena tersebut tidak stabil dan terbalik.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.