KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga tempatan yang juga orang kena tahan (OKT) di lokap Balai Polis Setiawangsa, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, pada Selasa.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, OKT yang berusia 59 tahun itu ditangkap mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 6 Julai lalu.
"OKT kemudian telah ditangkap bersabit satu kes lain dan ditahan di lokap yang sama untuk siasatan lanjut pada 18 Julai lalu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Azri berkata, OKT mengadu tidak sihat (demam) pada 21 Julai lalu dan di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.
"OKT diberikan ubat sakit dan dibawa semula ke dalam lokap pada hari yang sama. Rakan sel melihat lelaki itu sesak nafas dan bersandar di dinding tandas sel, semalam," katanya.
Beliau berkata, pihak hospital segera dihubungi dan ambulan telah sampai untuk membawa OKT ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
"Doktor daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur telah membuat pemeriksaan dan mengesahkan kematian OKT," katanya.
Menurutnya, bedah siasat akan dijalankan di tersebut pada Rabu untuk mengetahui punca kematian.
"Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut," katanya.