BENTONG - Pengguna boleh menggunakan laluan KM66.1 Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak bermula jam 7 malam ini.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, kerja-kerja pembaikan kes jalan mendap di kawasan terkesan bakal selesai hari ini.
"Saya difahamkan segala kerja kerja untuk menyiapkan dibuat pada hari ini jalan ini boleh dibuka semula kepada trafik atau kenderaan dalam jam 7 malam ini, tertakluk kepada kerja pembaikan dan sebagainya," katanya kepada media ketika melakukan lawatan ke lokasi di Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak.
Dalam pada itu, beliau juga berpuas hati dengan kerja-kerja pemantauan dan baik pulih yang berjalan dengan baik.
Alexander turut memuji sistem kontraktor yang berjaya mengesan pergerakan tanah dan tindakan penutupan jalan dilakukan lebih awal.
"Mereka buat sistem untuk mengetahui ada movement (pergerakan) tanah dekat kawasan ini. Memang ada sistem pengesan, jadi dipasang banyak sensor (alat pengesan).
"Oleh kerana itu apabila akan berlaku, mereka akan cepat-cepat menutup jalan... oleh sebab itu tiada kenderaan lalu semasa kejadian. Itu boleh kita puji sistem guna di sini dapat halang sebelum berlaku kejadian," katanya.
Terdahulu, laluan Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak arah timur dan barat ditutup sementara susulan kejadian tanah mendap di Kilometer 66.1 lebuh raya tersebut malam tadi.
LPT dalam ciapan di Twitter memaklumkan para pengguna dari Kuantan ke Kuala Lumpur diarahkan keluar di Persimpangan Pekan Bentong Timur dan masuk semula di Pekan Bentong Barat. - Awani