Staf pertanian JAKOA didenda RM3,000 gagal lapor terima suapan

Iklan
Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas mengaku salah atas tuduhan pilihan gagal lapor suapan diterima pada Januari tahun lalu.

KUANTAN - Seorang Penolong Pegawai Pertanian Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Lipis didenda RM3,000 di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan gagal melaporkan suapan RM200 yang diterima daripada seorang lelaki warga asing, Januari tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Akmi Mohamad, 40, berdepan hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda seperti yang diputuskan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif, tertuduh didakwa melanggar peruntukan Akta SPRM 2009 apabila gagal melaporkan pemberian suapan dan nama pemberi suapan kepada pegawai SPRM atau pegawai polis terdekat.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan di Kuala Lipis kira-kira jam 4 petang, 5 Januari tahun lalu.

Iklan

Bagi kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi satu lagi tuduhan pilihan di bawah seksyen sama dikemukakan pihak pendakwaan yang diakui tertuduh telah dipertimbang dan direkodkan mahkamah di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Iklan

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa diberi suapan RM100 melalui akaun bank, namun gagal melaporkan pemberian suapan dan nama pemberi suapan itu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Jalan Temerloh, Mentakab jam 1.01 tengah hari pada 7 Januari 2022.

Peguam, Khairul Amin Abdullah yang mewakili tertuduh sebelum itu merayu agar anak guamnya diberikan hukuman denda paling minimum dengan alasan tertuduh telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu selain mengambil kira kes itu adalah kesalahan pertama.

Menurut Khairul Amin, anak guamnya ditahan tugas sejak ditahan dan hanya menerima separuh daripada gaji asal untuk menyara isterinya yang tidak bekerja dan dua anak masih bersekolah.

Rifah Izzati dalam hujahnya memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman setimpal ke atas tertuduh dengan mengambil kira kekerapan kes rasuah di negara ini selain sebagai satu peringatan kepadanya dan masyarakat.