PETALING JAYA - Taktik dua lelaki warga asing bersama seorang lelaki tempatan dikenali Geng Ento Batang C yang menjadikan sebuah pondok di Semenyih, Kajang sebagai lokasi menyimpan motosikal curi terbongkar apabila mereka ditahan pihak polis pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fahkrudin Abdul Hamid berkata, sepasukan anggota Balai Polis Kota Damansara menahan dua lelaki berusia 33 dan 35 tahun di sebuah stesen minyak di Bandar Sri Damansara di sini pada jam 12.05 tengah hari.
"Hasil siasatan lanjut, polis kemudian menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di Semenyih pada jam 1.45 petang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini pada Rabu.
Mohamad Fakhrudin berkata, modus operandi geng itu adalah mereka menggunakan pemutar skru yang diubah suai untuk dijadikan alat menghidupkan motosikal sebelum dicuri dan disembunyikan di pondok itu.
"Motosikal yang dicuri itu kemudian disembur cat baru dan ditampal pelekat lain dengan menggunakan alat pengering rambut sebelum diganti nombor pendaftaran palsu untuk dijual semula kepada warga asing dengan harga antara RM300 hingga RM700," katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas peralatan mencuri iaitu pemutar skru yang diubah suai, sebilah pisau, cukai jalan, pelekat motosikal, cat semburan, pengering rambut dan telefon bimbit.
"Susulan penahanan mereka, polis merampas tujuh motosikal yang dilaporkan hilang membabitkan kerugian RM35,000," katanya.
Mohamad Fakhrudin berkata, dua lelaki warga asing itu memasuki negara ini sejak 2016 dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, suspek telah direman empat hari sehingga Selasa dan diserahkan kepada Polis Daerah Kajang untuk siasatan selanjutnya," katanya.