PRN: Unit Dron JSJ Selangor ditubuhkan pantau keselamatan

Iklan
Hussein (depan) semasa Perhimpunan Bulanan Kontinjen Selangor di Menara 2 IPK Selangor pada Rabu.

SHAH ALAM - Unit Dron Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor diwujudkan dalam membantu mengawal keselamatan sepanjang tempoh Pilihan raya negeri (PRN) di negeri itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, JSJ Selangor telah bersiap siaga dengan mengatur gerak kerja jabatan dengan menubuhkan beberapa pasukan bagi penugasan semasa PRN.

Iklan
Iklan

"Antaranya ialah Unit Dron JSJ Selangor dan ini merupakan kontinjen pertama yang mewujudkan unit terbabit.

"Ia akan dikendalikan oleh pegawai kanan dan anggota dari Cawangan D6 Selangor," katanya semasa ucapan dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Selangor bagi bulan Julai 2023 anjuran JSJ Selangor di Menara 2 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, fokus utama unit tersebut adalah untuk melakukan intipan dan risikan operasi selain dron ini mampu beroperasi pada waktu malam serta boleh mengesan suhu badan manusia.

5 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala bagi pengundian awal pada 8 Ogos.

Iklan

Dalam pada itu, Hussein turut menyeru seluruh warga Polis Selangor untuk bersama melangkah meneruskan misi dan visi pasukan ke arah mewujudkan negara yang lebih selamat dan aman.

Katanya, sebagai sebuah organisasi penguatkuasa undang-undang utama negara, semua anggota perlu memperbaharui dan memperteguhkan ikrar dan taat setia serta bakti mereka kepada raja dan negara.

"Tanam tekad untuk mempertingkatkan prestasi Kontinjen Selangor dalam menangani jenayah di samping memenuhi tanggungjawab serta tuntutan lain yang berkait rapat dengan kerjaya dan tanggungjawab kita sebagai warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Menghayati tatakerja yang sistematik dan terarah akan menjadikan warga Polis Kontinjen Selangor golongan yang disegani dan dihormati dalam kalangan warga PDRM keseluruhannya," ujarnya.

Tambahnya, matlamat pasukan amat jelas tentang hala tuju pasukan dan mengikut landasan yang betul dengan menjadikan disiplin sebagai cara hidup dan budaya kerja kerana ini adalah asas kerjaya kepolisan.