Peruntuk RM500,000 sedia kit kesihatan pergigian murid

Iklan
Saarani (empat dari kiri) menyerahkan replika peruntukan RM20,000 kepada Mohamad Fauzi ketika Program Penyerahan Kit Kesihatan Pergigian Murid Negeri Perak di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar Perak, di sini pada Rabu.

IPOH - Kerajaan negeri Perak memperuntukkan RM500,000 bagi menyediakan bekalan kit kesihatan pergigian kepada lebih 20,000 murid Tahun Satu di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemberian kit tersebut diberikan kepada murid daripada keluarga B40 dan M40 seluruh Perak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemberian kit kesihatan pergigian itu akan diselaraskan melalui Pejabat Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

"Melalui inisiatif baharu itu, lebih 20,000 murid daripada 120 sekolah akan menerima kit kesihatan gigi berupa ubat gigi, berus gigi, cawan dan tuala yang akan diedarkan oleh JPN Perak dan semua 12 PPD mulai bulan hadapan.

Iklan

"Kerajaan Negeri memahami kesukaran yang dihadapi oleh keluarga murid-murid khususnya di luar bandar dan berharap usaha yang dilaksanakan ini akan dapat memberikan kesedaran berkaitan kepentingan penjagaan kesihatan gigi," katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Kit Kesihatan Pergigian Murid Negeri Perak di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar Perak, di sini pada Rabu.

Hadir sama pada program itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Khairudin Abu Hanipah dan Pengarah Pendidikan Perak, Mohamad Fauzi Mahson.

Iklan

Saarani berkata, antara objektif pelaksanaan pemberian kit kesihatan pergigian ini bertujuan memperkasa murid sekolah untuk bertanggungjawab terhadap kesihatan mulut selain memperluaskan aktiviti pencegahan klinikal kepada murid.

Jelasnya, pemberian kit kesihatan pergigian itu antara inisiatif strategik TCS dalam membantu kesejahteraan dan kesihatan murid.

Menurutnya, usaha itu juga merupakan salah satu program di bawah Perak Sejahtera 2030 iaitu Perak Sihat Sejahtera.