BEBERAPA pengguna media sosial berkongsi keterujaan melihat anggota kumpulan rock popular, Muse di Pulau Langkawi, Kedah sejak petang Selasa.
Menerusi beberapa video yang tular, anggota kumpulan itu dilihat tiba di pulau legenda itu bersama ahli keluarga mereka menaiki jet peribadi.
Apa yang menarik perhatian adalah sikap mereka yang mesra dan ramah bertemu dengan penduduk tempatan, jauh berbeza dengan sebuah kumpulan antarabangsa yang hadir membuat persembahan minggu lalu.
"Muse baru sahaja menamatkan jelajah di Eropah. Tak ada pegang rokok, muka pun manis-manis. Tak ada pun cakap mereka kecewa terpaksa melawat ‘negara dunia ketiga’.
"Tak ada lagak acah-acah ‘rockstar’, semuanya nampak mesra dengan ahli keluarga masing-masing,” tulis pengguna Twitter, Nachua.
Dalam pada itu, penganjur konsert Muse 'The Will of The People', Hello Universe turut berkongsi video ahli kumpulan itu yang tidak sabar untuk bertemu peminat pada Sabtu ini.
"Hai apa khabar? Kami Muse. Kami tidak sabar untuk bertemu anda semua di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 29 Julai ini.
"Terima kasih kerana menerima kami dan terima kasih juga kepada Hello Universe (penganjur)," ujar kumpulan itu.
Muse yang dianggotai Matthew Bellamy (penyanyi, gitar), Chrisopher Wolstenholme (bass) dan Dominic Howard (dram) popular menerusi lagu Supermassive Black Hole, Starlight dan Time Is Running Out itu pernah mengadakan konsert sulung di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 2007.