PU Azman: Keberanian Firdaus Wong, faktor penceramah Isfadiah minta bantuan

Iklan
Azman berbaju merah hadir bersama peguamnya di Mahkamah Sesyen pada Rabu.

SEREMBAN - Penceramah, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki memberitahu mahkamah dia merujuk kes amang seksual melibatkan Pencetus Ummah (PU) Azman Syah Alias kepada Firdaus Wong Wai Fung kerana beliau seorang yang berani dan boleh dipercayai.

Saksi kelapan yang berusia 52 tahun itu berkata, selepas mengetahui kes tersebut dia merasakan perlu ada seseorang yang boleh membantunya.

Iklan
Iklan

"Dia (Firdaus Wong) orang berani dan ada 'connection' dengan peguam dan pihak berkuasa. Saya letakkan sudut kepercayaan kepada Brother Wong untuk bantu kami kerana saya tidak tahu caranya.

"Saya juga pernah minta bantuan dia dalam kes-kes lain misalnya 'scammer' pendakwah, selain bekerjasama dalam program misi bantuan kemasyarakatan.

Iklan

"Betul saya boleh terus buat laporan polis, tetapi saya tahu yang dituduh ini ada nama besar dan saya tak mahu mengaibkan mana-mana pihak," katanya ketika memberi keterangan pada hari ketiga perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Menurut Isfadiah, disebabkan itu dia perlu pilih saluran yang betul supaya cerita itu tidak tersebar.

Iklan

Malah kata Isfadiah, dia percaya perbuatan yang dilakukan itu adalah satu jenayah dan perlu melalui pihak berkuasa.

Dalam pada itu Isfadiah berkata, dia mengetahui perbuatan amang seksual dilakukan tertuduh selepas diberitahu oleh seorang rakannya yang merupakan ustazah.

Isfadiah

"Dia (ustazah) kata ada isu dengan penceramah terkenal dan waktu itu saya sudah agak PU Azman kerana dia rapat dengan penceramah itu.

"Saya sangka dengan anak-anak perempuan tetapi rupanya lelaki. Jadi saya telah hubungi Firdaus Wong untuk bantu," katanya.

Tambahnya, selepas itu mereka mengadakan perjumpaan secara tertutup bersama mangsa terlibat yang diadakan di sebuah bilik tertutup di Shah Alam Convention Centre (SACC) pada Ogos 2022 yang turut disertai Firdaus Wong.

"Salah seorang mangsa pada awalnya banyak diam kerana dia sangat malu. Ayat pertama dia kata 'saya kena lebih teruk'. Dia cerita ada dipegang secara fizikal yang tidak sepatutnya dilakukan mana-mana lelaki atau ayah.

"Ia ciuman dan memegang kemaluan. Saya tidak suka cerita secara terperinci, tapi 'datangnya' dari PU Azman, dia menggalakkan meminta dicium dan memegang kemaluan mangsa," katanya.

Sementara itu Isfadiah berkata, dia juga percaya kejadian berlaku kerana ia bukan sesuatu yang tidak pernah berlaku.

Pada perbicaraan hari keempat pada Khamis, Firdaus Wong dijangka dipanggil sebagai saksi bersama mangsa-mangsa yang terlibat.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi, Husni Fairos Ramly dan Goh Hsiao Tung, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad, Fahmi Adilah dan Norman Mohd Nasir.

Pada 12 Oktober 2022, PU Azman didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.

Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai tahun lalu.

Selain itu, PU Azman turut berdepan tujuh lagi pertuduhan berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja di Mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes PU Azman: Ibu mangsa dedah anak diminta lumur minyak

Ibu dakwa anak dicabul PU Azman cara 'pegang-pegang'

[VIDEO] PU Azman: 'Saya tak percaya ustaz lakukan perbuatan itu' - Bapa mangsa

Saksi dedah PU Azman buat oral seks terhadap anak murid