TUMPAT - Suami kepada mangsa kemalangan maut di Kilometer 375.8, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Bukit Besi, Terengganu mendedahkan dia hampir rebah selepas menerima panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali memaklumkan kejadian yang menimpa isteri dan anaknya.
Zulhilmi Ismail Yahya, 23, berkata, sebelum memasuki Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), isterinya, Raja Nurhanani Nabila Raja Hussin, 23, sempat menghantar WhatsApp ketika kereta yang dipandu adik ipar, Raja Haikal Najmi, 20, berhenti di sebuah stesen minyak.
Menurutnya, ketika itu dia berpesan supaya berhati-hati di jalan raya kerana perjalanan mereka masih jauh lagi sehinggalah menerima panggilan kejadian kemalangan itu.
"Sebelum kejadian arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, cuma sejak kebelakangan ini dia kurang menghubungi saya.
"Biasanya dalam sehari sehingga enam kali dia akan menghubungi saya," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Semat Jal di sini pada Rabu.
Zulhilmi berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah isterinya pada Aidiladha lalu ketika pulang menemaninya seminggu untuk berpantang di Kampung Semat Jal.
Dalam pada itu, tambah Zulhilmi, pada awalnya isteri mahu membuat kejutan pulang ke Kuantan secara diam-diam.
"Bagaimana pun kejutan itu tidak menjadi kerana saya mengetahui lebih awal niat isteri selepas dia memaklumkan dalam perjalanan pulang ke Kuantan pada hari kejadian.
"Sebelum itu, saya sudah berjanji mahu menjemputnya pada cuti pilihan raya nanti," katanya.
Sementara itu, adik iparnya, Raja Nurhumairaa Nadzirah, 13, yang masih trauma berkata, ketika kejadian dia bangun dalam keadaan bahu sakit untuk kejutkan abang, Raja Haikal Najmi yang ketika itu patah kaki tidak jauh darinya.
"Ketika saya kejutkan mak, dia sudah kaku, manakala kakak dan anak saudara ada di dalam longkang," ujarnya.
Katanya, selepas itu orang awam datang membantu dan kemudian bantuan tiba.
Sebelum itu, Sinar Harian pada Rabu melaporkan, tiga sekeluarga termasuk bayi berusia dua bulan maut dalam kemalangan setelah kereta dinaiki terbabas di Kilometer 375.8, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Bukit Besi, di sini pada petang Selasa.
Mangsa, Nik Muhammad Zayyan Irfan Zulhilmi Ismail bersama ibunya, Raja Nurhanani Nabila Raja Hussin, 23 dan neneknya, Noreha Mohamed, 53 meninggal dunia dalam nahas yang berlaku kira-kira jam 6.25 petang.