RakanGrab ZPP bantu asnaf tingkat pendapatan

Iklan
Ahmad Zakiyuddin (tiga dari kanan) menyerahkan peralatan kelengkapan untuk penghantar makanan kepada salah seorang peserta.

BUKIT MERTAJAM - Zakat Pulau Pinang (ZPP) terus mengorak langkah menerokai inisiatif pemerkasaan asnaf menerusi skim agihan zakat produktif dengan memperkenalkan program RakanGrab Zakat Pulau Pinang.

Kolaborasi strategik antara ZPP dan Grab Malaysia itu bertujuan memberi peluang pekerjaan kepada golongan asnaf untuk menambah pendapatan dengan menyasarkan belia asnaf supaya mampu menjana pendapatan melalui peningkatan permintaan penghantaran makanan, perkhidmatan dan barangan menerusi e-hailing.

Iklan
Iklan

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, Program RakanGrab ini merupakan program deposit sewa beli kenderaan (motosikal) yang julung kali dilaksanakan dalam program-program skim agihan ZPP di negeri ini.

Menurutnya, melalui program ini, ZPP akan menyumbangkan kenderaan melalui kaedah pembelian sebanyak 10 buah motosikal dan diberikan kepada peserta yang dipilih dalam kategori keluarga asnaf fakir dan miskin berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

Iklan

"Hal ini selaras dengan hasrat Malaysia Madani dengan bertunjangkan dasar-dasar yang berorientasikan masa depan demi membentuk sebuah masyarakat yang madani, maju, terampil dan terangkum," katanya.

Amran (kanan) dan Ebi Azly (kiri) bertukar dokumen persefahaman bagi perlaksanaan Program RakanGrab Zakat Pulau Pinang pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran RakanGrab Zakat Pulau Pinang di Ibu Pejabat ZPP di Bandar Perda, pada Rabu.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali dan Pengarah Hal Ehwal Awam dan Dasar Syarikat Grab Malaysia, Ebi Azly Abdullah.

Pada majlis itu, Amran dan Ebi turut menandatangani memorandum persefahaman bagi perlaksanaan Program RakanGrab Zakat Pulau Pinang.

Amran ketika berucap berkata, Program RakanGrab Zakat Pulau Pinang dibentuk dengan lebih menyeluruh yang memberikan manfaat bukan sahaja motosikal baharu yang bernilai RM5,600 kepada setiap peserta.

Jelasnya, kesemua peserta juga akan dilindungi dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri (SKSPS) dibawah Perkeso.

Selain itu, katanya, urusan pendaftaran lesen kenderaan (e-Hailing) dan pemantauan prestasi akan diuruskan oleh Grab Malaysia serta penilaiannya akan dinilai ZPP berdasarkan rekod prestasi setiap bulan.

"Sekiranya program perintis ini berjaya, Insya-ALLAH kita akan tambah jumlah peserta pada masa akan datang untuk terus memperkasakan golongan asnaf di negeri ini," ujarnya.

Ahmad Zakiyuddin (tiga dari kanan) melakukan gimik pelepasan sempena pelancaran Program RakanGrab Zakat Pulau Pinang di Bandar Perda pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar lebih banyak lagi syarikat-syarikat besar dan antarabangsa dapat mencontohi GrabCar Sdn Bhd melalui inisiatif yang dilaksanakan agar dapat melaksanakan inisiatif yang bersifat Madani untuk kemakmuran ekonomi seterusnya membangun daya saing yang tinggi kepada golongan memerlukan terutama asnaf fakir dan miskin dalam persekitaran ekonomi yang kian mencabar.