Anak Mamat Khalid teruskan fenomena 'Barkoba'

Iklan
Penulis dan Pengkritik Filem, Hassan Muthalib (dua dari kanan) bersama Bell Ngasri (kanan) dan Mohd Khalid Amen Mohamed (tiga dari kanan) pada program Sembang Santai Sutradara MAMAT KHALID: Dalam Kenangan. Foto: Bernama

TELEFILEM bersiri ‘19 Puasa’ kini dalam pembikinan dengan mengekalkan pelakon sedia ada termasuk Ngasrizal Ngasri atau Bell yang memegang watak ‘Barkoba’, sebagai teraju utama.

Sutradaranya, Mohd Khalid Amen Mohamad berkata, telefilem itu dijangka menemui penonton tahun depan.

Iklan
Iklan

"Insya-ALLAH saya sedang siapkan 19 Puasa yang dalam pembikinan bersama pelakon sedia ada, jadi nantikan kemunculan sekuel ini kelak," katanya yang juga anak pengarah, Allahyarham Mamat Khalid.

Mohd Khalid Amen ditemui ketika menjadi panel program Sembang Santai Sempena Pameran Sutradara Mamat Khalid: Dalam Kenangan 2023 di Perpustakaan Awam Negeri Perak di sini pada Rabu.

Iklan

‘19 Puasa’ merupakan sekuel kepada telefilem ‘16 Puasa’, ‘17 Puasa’ dan ‘18 Puasa’ yang ditulis dan diarahkan Allahyarham Mamat Khalid bermula pada 2017.

Telefilem komedi yang lazimnya ditayangkan pada bulan Ramadan itu, mengisahkan sekumpulan penduduk di Kampong Pisang yang suka ponteng puasa dan berusaha menyembunyikan kegiatan itu daripada pengetahuan keluarga masing-masing.

Mengakui tugas berat dalam meneruskan kecemerlangan arwah bapanya, Mohd Khalid Amen bertekad untuk terus memperjuangkan kerjaya dalam bidang pengarahan seperti yang dimahukan bapanya itu.

Iklan

"Amanah dan tanggungjawab yang saya pikul cukup berat, apatah lagi apabila semua mata tertumpu kepada saya selepas menunaikan tugas pertama iaitu menyiapkan karya ayah, ‘Kampong Pisang Berbuah Dua Kali’.

"Ketika duduk di kerusi pengarah barulah saya tahu apa yang ayah rasa, tanggungjawabnya sangat besar dan untuk berjaya saya perlu lalui semuanya,” katanya.

Mohd Khalid Amen juga bakal muncul dengan filem arahan pertamanya 'Sahul Bhai' yang akan ditayangkan di pawagam September ini. - Bernama