ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan belum dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kes rasuah dan salah guna kuasa kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.
Beliau sebaliknya mendedahkan kesemua 10 Exco kerajaan negeri telah dipanggil SPRM untuk diambil keterangan berkaitan kes berkenaan.
Menurutnya, kemungkinan gilirannya untuk memberikan keterangan akan dilakukan sejurus kesemua Exco selesai berbuat demikian.
"Saya belum lagi (dipanggil SPRM) tetapi semua Exco Kedah sudah dipanggil. Saya pun hairan sebab belum pernah lagi setiap seorang Exco dipanggil untuk mengesahkan minit mesyuarat Exco,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan zakat perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Wisma Darulaman, di sini pada Rabu.
Muhammad Sanusi memaklumkan, sebahagian Exco telah pun dikunjungi SPRM dan sebahagian lagi dalam masa terdekat.
"Sudah ada Exco telah beri keterangan, ada yang belum lagi. Semua proses itu dilakukan di sini (Alor Setar), hari ni ada, esok pun ada. Saya mungkin selepas itu lah,” katanya.
Pada 20 Julai, SPRM mengesahkan sudah memanggil 12 saksi berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa dalam isu kecurian REE di Kedah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, semua saksi dipanggil itu sudah dirakam percakapan bagi membantu kertas siasatan.
Pihaknya juga menjangkakan akan ada lagi saksi dipanggil untuk dirakam percakapan termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Sehari sebelum itu, SPRM menahan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah bersama seorang pengarah wanita sebuah syarikat bagi membantu siasatan membabitkan nilai rasuah lebih RM13 juta.
Suspek masing-masing berusia 40 dan 63 tahun itu ditahan masing-masing di Alor Setar, Kedah dan di ibu negara.
Pada Isnin, seorang lagi pegawai kanan Menteri Besar Kedah ditahan anggota penguatkuasa SPRM selepas menahan seorang pembantu kepada pemilik syarikat, menjadikan keseluruhan tangkapan kini seramai empat orang.