Bumbung rumah tercampak 10 meter dipukul ribut

Iklan
Keadaan rumah Mahkalsom yang dipukul ribut dalam kejadian di Kampung Berangan, Selising pada Rabu. Gambar kecil: Mahkalsom

PASIR PUTEH - Sebuah keluarga berdepan detik cemas selepas bumbung rumah mereka tercampak sejauh 10 meter dipukul ribut dalam kejadian di Kampung Berangan, Selising di sini pada Rabu.

Kejadian jam 5 petang itu berlaku ketika mereka sedang beristirahat di ruang tamu.

Iklan
Iklan

Mahkalsom Mat Saad, 60, berkata, pada awalnya keadaan cuaca mendung dan anak perempuannya, Nik Maznah Nik Mat, 31, keluar dari rumah untuk mengangkat kain di ampaian.

"Tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi kuat yang datang secara mengejut bersama angin.

Iklan

"Anak tidak sempat mengangkat kain kerana ampaian diterbangkan oleh angin sehingga jatuh ke dalam longkang di hadapan rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, selepas itu mereka dikejutkan pula dengan bumbung di kawasan ruang tamu terangkat dan tercampak sejauh 10 meter.

Iklan

Ujarnya, angin kuat itu kelihatan seakan puting beliung.

Mahkalsom memberitahu, oleh kerana ketakutan dia bersama tiga anak perempuannya dan tiga cucu berusia 9 bulan hingga 11 tahun menyelamatkan diri ke rumah jiran sebelah.

"Sehingga sekarang kami tidak berani pulang ke rumah kerana bimbang arus elektrik mengalir.

"Selagi pihak TNB (Tenaga Nasional Berhad) tidak datang kami akan menumpang di rumah jiran,” katanya.

Katanya, setakat ini jumlah kerugian belum dapat dikenal pasti bagaimanapun berharap hujan tidak lebat untuk mengelak lebih banyak kerosakan berlaku.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Affin 205180237860 Nik Maznah Nik Mat.