KUALA LUMPUR - Orang ramai yang berada di lokasi ketika konsert kumpulan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor, Jumaat lalu, sepatutnya bertindak pantas dengan menghubungi polis bagi memaklumkan perlakuan biadab vokalis kumpulan itu, Matty Healy.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, tindakan undang-undang tidak dapat diambil terhadap kumpulan itu kerana mereka sudah balik ke negara asal, United Kingdom (UK) pada awal pagi, Sabtu lalu.
"Masyarakat tidak boleh menyalahkan PDRM kerana tidak bertindak awal menahan kumpulan The 1975 kerana perbuatan biadab tersebut.
"Orang ramai boleh membuat panggilan bagi membuat laporan seterusnya membolehkan PDRM bertindak segera," katanya pada sidang media bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, di sini pada Rabu.
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) berkata, PDRM akan hanya boleh bertindak sekiranya mempunyai maklumat awal atau laporan daripada orang ramai.
"Orang ramai perlu memberi kerjasama kepada PDRM bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil, termasuk menahan atau menghalang pihak tertentu yang terlibat dengan jenayah daripada keluar dari negara ini," katanya.
Dalam pada itu tegasnya, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) perlu dikembalikan kepada PDRM bagi menangani jenayah dengan lebih baik.
"Poca perlu diperkenalkan semula, sekali gus memberi kuasa kepada PDRM melaksanakan undang-undang pencegahan dengan lebih baik dan mengenal pasti ketua-ketua jenayah bersindiket.
"Malah dengan Poca juga membolehkan PDRM menyiasat kegiatan haram yang seterusnya menjurus kepada perbuatan rasuah," ujarnya.
Sementara itu, Hishamuddin berkata, selain Agensi Pusat Permohonan Penggambaran dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) perlu membuat kajian lebih terperinci terhadap artis yang ingin membuat persembahan di Malaysia, satu pasukan khas perlu dibentuk bagi memantau kes seumpama itu.
Beliau berkata, pasukan khas pemantau itu perlu melibatkan agensi penguat kuasa seperti PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).
"Kita sebagai rakyat Malaysia pastinya tidak mahu kejadian memalukan seperti yang dilakukan oleh The 1975 tidak lagi berulang pada masa hadapan.
"Bukan sahaja menyenarai hitam The 1975 untuk masuk ke negara ini, tindakan tegas juga perlu dilakukan kepada kumpulan itu termasuk mendakwa mereka di muka pengadilan.
"Malah tindakan tegas juga perlu diambil ke atas pihak penganjur kerana bersubahat dalam perbuatan jijik The 1975," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Aksi biadab The 1975 undang kemarahan orang ramai
Aksi sangat biadab The 1975: Fahmi minta penganjur Good Vibes Festival 2023 beri penjelasan
Aksi sangat biadab The 1975: Pengunjung boleh tebus tiket kemasukan
Henti konsert The 1975 bukti kerajaan tegas - Penganalisis
Aksi sangat biadab The 1975: Polis panggil penganjur
Festival Good Vibes dibatalkan serta-merta - Fahmi
'Haramkan The 1975 masuk ke Malaysia' - Dr Akmal