KEDAH Darul Aman (KDA) FC melepaskan pemain tengah, Lee Tuck secara persetujuan bersama kedua-dua belah pihak pada Rabu.
"Selepas beberapa perbincangan dan pertimbangan bersama antara pengurusan kelab dan Lee Tuck, dengan emosi bercampur-baur kami mengumumkan persetujuan bersama mengenai pemergian Lee Tuck dari KDA,” kata kelab tersebut pada Rabu.
Jelas kelab kendalian Nafuzi Zain itu lagi, sepanjang musim ini, Lee Tuck mempamerkan dedikasi tinggi, kemahiran luar biasa dan komitmen terhadap prestasi KDA FC.
"Persembahan luar biasa beliau di atas padang telah meninggalkan kesan yang besar di hati peminat, dan sumbangan beliau kepada keputusan perlawanan pasukan akan sentiasa diingati dengan penuh memori indah dan terima kasih.
"Seperti mana-mana perjalanan pemain bola sepak, peralihan adalah sebahagian dalam kerjaya seorang atlet.
"Keputusan ini dicapai dengan cara yang baik, dan kami menghormati keinginan Lee Tuck. Walaupun dia tidak akan lagi memakai jersi kelab ini, kami tidak ragu-ragu bahawa Lee Tuck akan terus bersinar dalam kerjaya masa depannya,” kata kelab tersebut pada Rabu.
Dalam pada itu, KDA FC mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Lee Tuck atas khidmatnya yang luar biasa kepada kelab.
"Semangat, kerja berpasukan, dan kepimpinannya di dalam dan di luar padang telah memberi inspirasi kepada ramai pemain muda dan peminat.
"Kenangan yang dicipta bersama akan dikenang selama-lamanya, dan kami akan sentiasa mengalu-alukan Lee Tuck dengan tangan terbuka setiap kali beliau kembali melawat KDA FC,” katanya.