Kerajaan umum pelaburan RM25 bilion pada Khamis - Rafizi

Iklan
Rafizi Ramli. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Kerajaan akan mengumumkan pelaburan berjumlah sebanyak RM25 bilion pada Khamis.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, jumlah tersebut akan membuka sehingga 23,000 peluang pekerjaan yang bergaji tinggi buat rakyat negara ini.

Iklan
Iklan

"Kami di Kerajaan Perpaduan akan terus hasilkan program-program ekonomi yang berimpak tinggi untuk kesenangan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Twitternya pada Rabu.

Sebelum ini, Rafizi memaklumkan, terdapat dua pengumuman penting yang akan dilakukan oleh beliau dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, di sebelah pagi, Anwar akan melancarkan kerangka Ekonomi Madani manakala beliau pada sebelah petangnya akan melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Jelas beliau, kedua-dua rancangan tersebut akan menerangkan hala tuju ekonomi Malaysia untuk dekad ini selain untuk menarik pelabur, jana peluang kerjaya yang bernilai tinggi, dan meningkatkan pendapatan rakyat.

Iklan

Tambah Rafizi, kesepaduan dan kepelbagaian parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan akan terus mengutamakan dasar-dasar pro rakyat selain menjadi semak imbang antara satu sama lain.

"Yang penting kami akan selesaikan masalah harian rakyat supaya kita tidak mengulangi kelemahan-kelemahan lalu, yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana.

"Itulah tugas mana-mana kerajaan iaitu ada idea, cari penyelesaian dan terus bertindak,” ujarnya.