PN umum tanding semua kerusi di tiga negeri

Iklan
Muhyiddin bersama calon-calon PN Negeri Selangor pada Majlis Pengisytiharan Calon-Calon Perikatan Nasional Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor di Taman Medan malam Rabu. - Foto: Bernama
KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) malam ini mengumumkan akan bertanding di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Di Selangor, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PN bertanding di 56 kerusi dengan Bersatu akan diwakili 21 calon, PAS (17), Gerakan (lapan) serta 10 calon mewakili Bersatu-Bersekutu, iaitu satu daripada sayap Bersatu.

Dua bekas menteri iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Rina Harun antara nama besar yang dipertaruhkan sebagai calon, masing-masing di DUN Hulu Kelang dan DUN Batu Tiga.

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Jamil Salleh pula diumum bertanding di DUN Dengkil sementara anak bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar, Nurul Syazwani dinamakan sebagai calon di DUN Permatang.

Di Kedah, PN mempertaruhkan 23 muka baharu termasuk berlatarbelakangkan akademik dan sukan.

Komposisi calon di Kedah ialah Pas 21, Bersatu (12) dan Gerakan (tiga).

Antara yang mencuri tumpuan, dua tokoh akademik iaitu bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Haim Hilman yang dicalonkan di kerusi DUN Jitra dan Prof Dr Muhammad Suffian Yusoff di DUN Bandar Baharu.

Dua tokoh dalam bidang sukan pula iaitu pemain bola sepak Baddrol Bakhtiar yang mewakili pasukan Kedah sebelum berhijrah ke Sabah FC dicalonkan di Gurun, manakala bekas pemain bola sepak profesional Radhi Mat Din di kerusi Alor Mengkudu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula akan mempertahankan kerusi yang disandangnya sebelum ini iaitu Jeneri.

Di Pulau Pinang, Gerakan mendominasi senarai calon dengan bertanding di 19 kerusi, PAS (tujuh) dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) (tiga), Bersatu (tujuh) dan Bersatu-Bersekutu (empat).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian PRN di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, manakala tarikh penamaan calon pada Sabtu ini dan pengundian awal pada 8 Ogos. - Bernama