SUBANG JAYA - Masyarakat Orang Asli di negara ini dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan janji manis pihak tertentu termasuk parti politik yang cuba memecahkan-belahkan perpaduan mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak terbabit yang cuba menaja, membiaya parti baharu itu juga dikesan berselindung di sebalik badan bukan kerajaan (NGO) yang kononnya mahu membela nasib Orang Asli rupanya mempunyai 'udang di sebalik batu'.
Menurutnya, mereka masuk ke dalam perkampungan Orang Asli dengan pelbagai hasrat termasuk menubuhkan parti khas berkenaan.
"Pihak penaja dan pembiaya, pihak yang menggunakan parti itu.. kita nak bagitahu, kita letakkan noktah supaya Orang Asli tidak dipecah perintahkan oleh parti itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Batin dan Penghulu Orang Asli Bersama Pemimpin 2023 di sini pada Rabu
Pada majlis sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyampaikan pemberian sagu hati secara 'one-off' sebanyak RM1,000 kepada 624 Batin dan Penghulu serta RM500 untuk Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) yang membabitkan peruntukan keseluruhan RM950,000.
Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak pernah bercadang untuk menghapuskan Akta Orang Asli 1954 atau Akta 134, sebaliknya yang dilakukan adalah memperkasakan akta berkenaan.
"Terdapat isu semakan Akta 134 iaitu akta berkaitan dengan Orang Asli. Ada pihak yang mengatakan kononnya kerajaan mahu menghapuskan akta ini.
"Langkah mayat saya dulu kalau ada mana-mana pihak yang mahu menghapuskan akta ini. Apa apa yang kami akan lakukan adalah usaha untuk memperkasa kepentingan Orang Asli dan Akta 134 ini.
"JAKOA pada ketika ini sedang melaksanakan semakan dan mengadakan beberapa sesi libat urus berkaitan pindaan Akta 134. Sesi penerangan berkaitan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) kepada semua Batin, Penghulu Orang Asli bersama pihak INFRA telah dan sedang dijalankan dari bulan Jun hingga Julai 2023 melibatkan tiga siri.
Ahmad Zahid berkata, libat urus dan perbincangan nanti, Tok Batin dan Penghulu sila beri saranan bagaimana kerajaan boleh memperkasakan kedudukan Orang Asli," katanya.
ends