SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding 31 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos depan.
Daripada jumlah itu, 10 kerusi ditandingi Sayap Bersekutu Bersatu, manakala Pas dan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) pula masing-masing bertanding 17 dan lapan kerusi.
PRN kali ini menyaksikan penyandang DUN dari Bersatu kekal mempertahankan kerusi antaranya bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Abdul Rashid Asari dan Muhammad Hilman Idham di DUN Gombak Setia yang dimenangi beliau atas tiket Parti Keadilan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula yang juga penyandang DUN Bukit Antarabangsa menyertai Bersatu bertanding di DUN Hulu Kelang.
Bersatu turut menamakan bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bakal bertanding di DUN Batu Tiga.
Sementara itu, antara muka baharu ditampilkan Bersatu antaranya anak kepada Tan Sri Noh Omar, Nurul Syazwani di DUN Permatang dan Mohd Zaidi Selamat di DUN Sungai Air Tawar.
Pas pula mempertaruhkan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi untuk terus mempertahankan DUN Sijangkang.
Selain itu, Pas juga meletakkan bekas Rektor Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Profesor Datuk Dr Ab Halim Tamuri di DUN Paya Jaras.
Lapan lagi kerusi ditandingi Gerakan pula ialah di DUN Hulu Selangor, Bukit Gasing, Bandar Utama, Bukit Lanjan,Bandar Baru Klang, Sentosa, Kota Kemuning dan Banting.
Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) Selangor itu diumumkan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Taman Medan pada malam Rabu.