Islamphobia semakin berleluasa di Eropah

Iklan
Pelajar Iran menunjukkan slogan ditulis pada tangan semasa demonstrasi mengecam pembakaran al-Quran di Sweden. - Foto AFP

COPENHAGEN - Sebuah kumpulan kecil aktivis anti-Islam mencetuskan lagi kemarahan umat Islam apabila membakar al-Quran di hadapan kedutaan Mesir dan Turkiye di Copenhagen, Denmark pada Selasa selepas insiden sama berlaku di Sweden beberapa minggu lalu.

Denmark dan Sweden berkata, mereka 'sangat kesal' dengan pembakaran kitab suci al-Quran tetapi tidak dapat menghalangnya di bawah peraturan yang melindungi kebebasan bersuara.

Iklan
Iklan

Minggu lalu, penunjuk perasaan di Iraq membakar kedutaan Sweden di Baghdad yang marah dengan insiden sama.

Tunjuk perasaan dan pembakaran kitab suci di Copenhagen dilakukan kumpulan digelar 'Patriot Denmark'.

Iklan

Kementerian luar Turki pada Selasa mengutuk sekeras-kerasnya 'serangan berterusan' terhadap al-Quran, sambil menambah pihak berkuasa Denmark membenarkan tindakan ini bermakna mereka tidak melihat 'kesan teruk' balasan yang akan diterima.

Pada Isnin, Turkiye menggesa Denmark mengambil langkah perlu bagi menghalang 'kebencian terhadap Islam'.

Iklan

Bahrain pada Selasa memanggil utusan khas Sweden dan menyerahkan surat bantahan yang membenarkan pembakaran al-Quran di Stockholm.

Kementerian Luar Iraq pada Isnin menggesa pihak berkuasa negara-negara Kesatuan Eropah (EU) untuk segera mempertimbangkan semula kebebasan bersuara dan hak untuk berdemonstrasi.

Kementerian Luar Mesir pada Selasa melakukan tindakan sama dengan memanggil duta Sweden untuk mengecam tindakan tersebut. - Agensi