KUALA LUMPUR - Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) pada Rabu menaikkan kadar faedah sebanyak suku mata peratusan, dalam julat 5.25-5.50 peratus, tertinggi sejak 22 tahun lalu.
Memetik laporan Reuters, Pengerusi Fed Jerome Powell berkata, inflasi yang masih meningkat di negara itu menjadi rasional kepada keputusan tersebut
Kali terakhir kadar sama diputuskan adalah pada Julai 2007 sejurus sebelum kejatuhan pasaran perumahan dan tidak pernah meningkat secara konsisten ke tahap sama.
"Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan terus menilai maklumat tambahan dan implikasinya terhadap dasar monetari," kata Fed dalam kenyataan hari ini yang dilihat berbeza nadanya berbanding kenyataan yang dikeluarkan pada Jun lalu.
Seperti yang dinyatakan pada Jun, Fed berkata ia akan melihat data yang diterima dan mengkaji kesan kenaikan kadarnya ke atas ekonomi seiring mencapai sasaran inflasi ke tahap 2 peratus.
Powell berkata, sebarang keputusan dasar masa depan akan dibuat berdasarkan mesyuarat demi mesyuarat dan dalam persekitaran semasa.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan menaikkan kadar tersebut jika difikirkan perlu.
"Sudah tentu mungkin kami akan menaikkan kadar tersebut sekali lagi pada mesyuarat September jika data menunjukkan ia langkah yang wajar, dan ada kemungkinan kami akan memilih untuk berpegang teguh (kepada keputusan) mesyuarat itu jika itu adalah keputusan dasar yang betul," kata Powell dalam sidang media selepas penyata dasar itu dikeluarkan.
Pada masa sama, beliau memberi indikasi supaya tiada jangkaan kepada sebarang pengurangan kadar atau pelonggaran dasar dalam jangka masa terdekat. - Awani