PENYERANG dari Perancis, Moussa Dembele menyertai Al-Ettifaq selepas kontraknya bersama gergasi Ligue 1, Olympique Lyonnais berakhir, kata kelab Liga Pro Saudi tersebut pada Khamis.
Bagaimanapun butiran kewangan perjanjian pemain yang dibangunkan di Paris Saint-Germain (PSG) tersebut tidak didedahkan.
"Moussa Dembele, selamat datang ke kelab bola sepak Al-Ettifaq," kata kelab itu di platform pemesejan X, sebelum ini dikenali Twitter.
Dembele membuat penampilan sulung profesionalnya untuk Fulham dalam Liga Perdana Inggeris pada November 2013.
Dia menjaringkan 19 gol dalam 64 perlawanan untuk Fulham sebelum menyertai kelab liga Scotland, Celtic pada 2016.
Dembele membantu Celtic memenangi treble domestik Scotland berturut-turut, sebelum berpindah ke kelab Ligue 1 Perancis, Lyon pada Ogos 2018.
Di peringkat Perancis, Dembele memperoleh lebih 50 caps bersama Les Bleus pada fasa remaja apabila dipanggil menyertai skuad Bawah 21 (B-21) tahun pada Oktober 2016.
Kelab itu sebelum itu turut menandatangani pemain pertahanan Scotland, Jack Hendry dari kelab Liga Belgium, Club Brugge pada Rabu.
Liga Pro Arab Saudi semakin menjadi perhatian para pemain berkualiti dunia selepas perpindahan bekas bintang Manchester United, Real Madrid dan Juventus, Cristiano Ronaldo ke Al-Nassr pada Disember lalu.