Suhakam sokong inisiatif kerajaan gubal undang-undang berkaitan gig

Iklan
Dr Rahmat Mohamad

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyokong inisiatif kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) serta menggubal undang-undang yang bertujuan untuk melindungi keselamatan sosial pekerja gig.

Pengerusinya, Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad berkata, perkembangan penting ini sejajar dengan cadangan Suhakam bagi memastikan perlindungan sosial yang mencukupi untuk pekerja gig.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ekonomi gig di Malaysia telah mengalami pertumbuhan yang luar biasa dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Walau bagaimanapun, kekurangan klasifikasi pekerja gig yang jelas dan syarat-syarat pekerjaan yang dipersetujui telah menghalang pekerja gig daripada menikmati hak asasi pekerja dan perlindungan sosial.

Iklan

"Di samping itu, kebimbangan mengenai hak pengguna dan pengendalian makanan timbul kerana ciri unik perkhidmatan berasaskan gig,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, menyedari cabaran ini, Suhakam memulakan usaha pada tahun 2021 secara aktif menyokong hak pekerja dalam ekonomi gig.

Iklan

Tambahnya, bagi meneruskan usaha ini, dua siri rundingan telah dijalankan iaitu pada 1 Mac tahun ini dengan pekerja e-panggilan dan p-panggilan serta pada 1 Jun melibatkan syarikat penyedia perkhidmatan e-panggilan dan p-panggilan.

"Dalam menyokong penuh usaha progresif ini, Suhakam bersedia dan komited untuk mengambil bahagian secara aktif dalam proses rundingan untuk menggubal undang-undang,” ujarnya.

Suhakam turut mencadangkan agar perkara-perkara berikut dipertimbangkan dengan serius termasuk definisi yang jelas mengenai pekerja gig, perlindungan sosial, mekanisme aduan dan terma syarat perjanjian kolektif pekerjaan termasuk kestabilan pendapatan, cuti bersalin, cuti tahunan, faedah perubatan, sumbangan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkose) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), perlindungan insurans, serta kadar tambang lantai yang adil dan mencukupi.

Rahmat berkata, undang-undang juga harus merangkumi peruntukan khusus kepada hak pengguna dan pengendalian makanan dalam perkhidmatan berasaskan gig untuk memupuk persekitaran yang selamat bagi pekerja serta pengguna.

"Suhakam amat menggalakkan dialog dan kerjasama berterusan antara kerajaan, pihak berkepentingan industri, persatuan pekerja gig dan organisasi masyarakat sivil untuk menangani keperluan pekerja gig yang sentiasa berkembang sambil mendukung hak pengguna dan memastikan pengendalian makanan yang selamat,” katanya.

Ujarnya, mereka perlu bekerjasama bagi mewujudkan sistem yang adil, inklusif dan selamat dalam melindungi hak, kebajikan dan kepentingan semua pihak yang terlibat dalam ekonomi gig.