SHAH ALAM - Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, mungkin bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah lupa bahawa tiada sepatah kata ‘Melayu’ disebut dalam Wawasan 2020 yang dirangka pada tahun 1991, sebaliknya adalah satu bangsa Malaysia.
Menurutnya, Dr Mahathir mulai membangkitkan semula isu ‘Melayu’ cuma pada kali ini bukan ‘Melayu malas’ tetapi terancam.
"Dr Mahathir memetik kalimat Hang Tuah, ikon sejarah yang mencurahkan taat setia sepenuhnya kepada Sultan, bahawa Melayu tidak akan hilang di dunia.
"Tanpa menunjukkan bukti, Dr Mahathir mendakwa bahawa Melayu sudah hilang banyak wilayah, disusuli dengan ramalan bahawa bangsa itu akan hilang negara dan di dunia, sambil menafikan tujuan untuk menakutkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada 4 Julai, Sinar Harian melaporkan, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, mendakwa Melayu bukan sahaja berisiko kehilangan negara, bahkan dunia sekiranya tanah Melayu dihapuskan dan digantikan dengan negara berbilang kaum, Malaysian Malaysia.
Mengulas lanjut, Chean Chung berkata, Dr Mahathir mungkin cuba mengimbau sejarah pada abad ke-15 dan 16 untuk memperlihatkan Kesultanan Melayu Melaka yang pernah mencapai kegemilangan dan menuju ke arah kemerosotan sehingga akhirnya jatuh ke tangan penjajah asing.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa sejarah perlu dikupas secara terperinci, ditelusuri konteks dan latar belakangnya supaya tidak terperangkap dalam perspektif sempit ketika mentafsir.
"Maklumlah, mereka berkepentingan sentiasa cuba menyogok dongeng tertentu untuk membina mitos sendiri yang pantang dicabar,” katanya.
Tambah Chean Chung, jika sejarah itu ditelusuri, kejatuhan Melaka berlaku disebabkan fitnah, rasuah dan pengurusan ekonomi yang tidak cekap. Akhirnya menjurus kepada kejatuhan empayar Melaka apabila Portugis menyerang dan menawan Melaka pada tahun 1511.
Katanya, meskipun dalam konteks zaman berlainan, hikmah pergelutan politik dalaman berlebihan iaitu sehingga saling menjatuhkan, hasad dengki dan kerakusan bakal mengundang kejatuhan empayar yang pernah tersergam megah.
"Bagaimanapun tujuh abad kemudian, kita perlu sedar bahawa seandainya membiarkan politik berlebihan sesama kita dengan fitnah yang disebarkan sewenang-wenangnya, Malaysia akan terus bergelut dengan masalah ini sehingga ketinggalan.
"Kita mungkin tidak dijajah secara fizikal tetapi kita akan menjadi semakin mundur sehingga terpaksa bergantung kepada kuasa ekonomi asing,” katanya.
Jelas Chean Chung, daripada memuja tokoh politik yang menyerang sesiapa yang tidak sehaluan adalah lebih baik merungkaikan segala masalah yang diwarisi sejak beberapa dekad lalu dan menghargai tokoh berjiwa besar serta berlapang dada meraikan kepelbagaian.
Katanya, Malaysia hanya akan berjaya sekiranya memaparkan keistimewaan yang dimiliki melalui formula politik, ekonomi, dan sosiobudaya yang memperlihatkan kepelbagaian.