SHAH ALAM - Pelakon, Hafidz Rosdi disahkan bercerai dengan isterinya, Shuhada talak satu pada Februari lalu, oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis.
Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin memutuskan demikian ketika prosiding pengesahan lafaz cerai luar mahkamah daripada pelakon itu atau nama sebenarnya, Muhammad Hafidz Roshdi, 29, terhadap Shuhada atau Nurul Shuhada Mat Shukri, 29.
Ketika membaca keputusan berkenaan, hakim syarie ini berkata, setelah mendengar permohonan Hafidz selaku plaintif, termasuk keterangan semua pihak, mahkamah mendapati lafaz cerai yang dibuat secara lisan, pada jam 11.40 malam, 22 Februari lalu adalah sah mengikut hukum syarak.
"Mulai tarikh dan waktu itu, jatuhkan talak satu kali pertama ke atas Shuhada selaku defendan.
"Sebelum ini, defendan mengandung maka edahnya adalah sehingga bersalin atau keguguran, seterusnya mahkamah memerintahkan perceraian ini didaftarkan di Pejabat Agama Islam Petaling dan surat nikah dibatalkan," katanya.
Bagaimanapun Siti Rahmah berkata, lafaz yang didakwa dilakukan pada jam 12.59 tengah hari, 22 Januari lalu adalah tidak menjatuhkan talak kerana tidak memenuhi syarak.
Dalam prosiding ini, Hafidz diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader sementara peguam syarie, Nurfarhana Abd Manaf bagi pihak Shuhada.
Pada 27 Februari lalu, Hafidz dan Shuhada telah memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah di sini, mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.
Keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada kedua-dua keluarga.
Pada 22 Februari, Hafidz melafazkan cerai menerusi panggilan telefon terhadap Nurul Shuhada di hadapan ahli keluarganya.
Kemelut rumah tangga salah seorang finalis Hero Remaja itu mula diperkatakan ramai apabila isterinya mendakwa pelakon itu mempunyai hubungan dengan wanita lain.
Pelakon drama 'Melastik Ke Hatimu' itu mendirikan rumah tangga dengan Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 3.
ARTIKEL BERKAITAN : Hafidz Roshdi tak mengaku salah cederakan isteri
Polis sah terima 2 laporan libat isteri Hafidz Roshdi keguguran