ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Seorang buruh kontrak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan merogol anak kandungnya pada 2016 dan 2017.
Tertuduh berusia 52 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 16 tahun di bilik air sebuah rumah di daerah Pendang lebih kurang jam 2.30 petang pada Disember 2016.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol anak perempuannya di bilik tidur di kediaman sama lebih kurang jam 4 petang pada bulan sama.
Berdasarkan pertuduhan ketiga, tertuduh sekali lagi didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di bilik tidur di alamat sama lebih kurang jam 9 pagi Februari 2017.
Bagi kesemua perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya J Banusha manakala tertuduh diwakili diwakili peguam A Surendran dari Tetuan MThanakumaran dan Shan.
Sebelum itu, Banusha menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak akan mengganggu saksi pendakwaan hingga tamat perbicaraan sekiranya diberikan jaminan.
Surendran memohon supaya anak guamnya diberi ikat jamin rendah dengan mengambil kira faktor usia tertuduh dan lelaki itu hanya bekerja sebagai buruh kontrak dengan pendapatan tidak tetap.
Noor Zaihan membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 27 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.