KUALA LUMPUR - Dijulang sebagai negarawan yang tiada galang ganti, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman disifatkan sebagai tokoh sebenar yang berhemah tinggi, berintegriti, tegas, sangat ikhlas dan sedia untuk menyumbang tenaga dan khidmat bakti demi negara pada sebilang masa.
Bekas pegawai pengiring mantan Timbalan Perdana Menteri itu, Datuk Seri Noordin Omar berkata, ia jelas terbukti dengan peranan Dr Ismail yang dijulang sebagai antara wira dalam mengembalikan keharmonian antara kaum pascarusuhan 13 Mei yang menggemparkan seluruh negara pada ketika itu.
Beliau berkata, ketika saat genting tragedi berdarah itu pada 1969, Dr Ismail sudah pun dua tahun bersara daripada jawatannya selaku Menteri Dalam Negeri akibat masalah kesihatan.
"Doktor memang nasihat beliau (Dr Ismail) kurangkan aktiviti dan banyakkan berehat, namun pascatragedi 13 Mei itu, keadaan di dalam negara tidak harmoni dan pada saat itulah saya sendiri menyaksikan Tun (Dr Ismail) secara sukarela kembali berkhidmat di dalam kabinet sebagai Menteri Dalam Negeri bagi membantu usaha mengembalikan keamanan di dalam negara.
"Biarpun kesihatannya tidak begitu baik, Tun tetap melangkah menabur khidmat kepada negara, saya lihat bagaimana Toh Puan Norashikin Mohd Seth (isteri Dr Ismail) merestui, memberi sokongan penuh terhadap tekad suaminya menjalankan tanggungjawab kepada negara,” katanya ketika ditemui di kediamannya.
Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dijadual mengadakan satu program bagi memperingati jasa Dr Ismail sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
Program itu yang akan dilaksanakan di Dataran Merdeka di sini pada 2 Ogos ini, bertujuan mendidik generasi muda mengenai sumbangan negarawan itu dalam membangunkan negara ini.
"Ia bukan sekadar memperingati beliau tetapi jasa dan bakti beliau dalam usaha pembentukan sebuah negara bersama dengan tokoh besar tanah air dan ini kita harap jadi satu penghormatan kepada usaha Allahyarham agar generasi baharu tidak lupa bahawa negara kita ramai pejuang yang telah berusaha," kata menteri berkenaan Fahmi Fadzil baru-baru ini.
Noordin, 86, yang menamatkan perkhidmatannya dalam pasukan Polis Diraja Malaysia pada 1992 dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Polis Perak menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang tegas, namun cukup prihatin berkaitan kebajikan orang di sekelilingnya dan amat menghormati masa.
"Beliau amat pantang sesiapa sahaja sama ada kakitangan mahupun kenamaan yang sudah membuat janji temu untuk berjumpanya tetapi tidak menepati masa. Pernah suatu masa ada seorang pegawai pelancong dari negara Eropah nak bertemu Tun, namun kerana mereka lewat 10 minit tiba di pejabat Tun, beliau enggan bertemu mereka.
"Integriti dan ketegasan Tun juga menyebabkan saya lihat tiada mana-mana pihak yang berani mengambil kesempatan atas kedudukannya, malah mereka semua saya kira pada ketika itu sudah pun menjulang Tun sebagai incorruptible minister," katanya.
Menyingkap sisi lain Dr Ismail, Noordin berkata negarawan itu mempunyai sifat kemelayuan yang amat tinggi dan tidak pernah sesekali melupakan asal usulnya sebagai orang Melayu dari Johor.
Beliau berkata, selain peribadi yang cukup sopan santun, Allahyarham cukup menggemari muzik irama asli, menghargai nilai budaya Melayu serta mencintai makanan Melayu.
"Bagi Tun, bangsa tanpa budaya itulah kedaifan yang sebenar... ketika dalam pentadbiran, Tun kerap memperjuangkan Melayu yang ketika itu dianggap ketinggalan berbanding bangsa lain terutamanya dalam aspek ekonomi melibatkan golongan Melayu di perkampungan dan luar bandar," katanya.
Menurut Noordin, Dr Ismail juga merupakan seorang bapa yang amat penyayang dan ia jelas dapat dilihat menerusi gaya Allahyarham membesarkan enam orang cahaya matanya di sebalik kesibukan sebagai pemimpin negara.
"Tun suka berenang, suka main golf, tetapi itu semua jika ada kelapangan, biasanya selesai kerja, Tun akan terus pulang ke rumah dan bermain dengan anak-anaknya.
Saya masih ingat lagi melihat beliau begitu mesra melayan kerenah Tawfik (Mohamed Tawfik), Zailah, Badariah, Tarmizi, Zamakh (Zamakhshari) dan Ariff (Mohamed Ariff) selepas pulang dari kerja," katanya. - Bernama