JOHOR BAHRU - Anak kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub berkongsi kesusahan yang pernah dialami menjadi pendorong kuat kepada arwah bapanya bekerja keras sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan rakyat tidak kelaparan.
Fatihah menerusi muat naik di Facebook pada Khamis berkata, mereka sekeluarga pernah makan hanya berlaukkan keropok, malah bapanya pernah berhutang membeli susu di kedai Cina untuk mereka adik-beradik yang masih kecil.
"Terpahat di memori apabila ayah bawa kami lima beradik naik motosikal pergi kedai untuk belanja kami jajan dan aiskrim. Selalunya kalau ayah tiada di rumah, kami hanya dapat 30 sen untuk belanja jajan daripada emak.
"Kami juga pernah merasai makan berlaukkan keropok tanpa protein seperti daging dan ayam. Pernah juga mak cerita pada kami ayah terpaksa hutang susu dengan 'apek' kedai masa kami masih kecil. Mungkin itulah antara yang mendorong ayah bekerja keras untuk memastikan rakyat tidak lapar," ujarnya yang merupakan seorang peguam.
Fatihah turut berkongsi luahan bapanya yang mahu dijemput ‘pergi’ ketika sedang bekerja yang akhirnya dimakbulkan ALLAH SWT apabila Salahuddin meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada Ahad lalu ketika dalam tugasannya di Kedah.
"Dua bulan lepas, ayah ada ajak makan masa itu dengan Datuk Mohd Azis Jamman. Kebetulan ketika itu, kami berbual kenapa ahli politik sukar untuk pencen. Ayah secara spontan jawab ‘ahli politik tak boleh pencen. Kalau dia pencen, otak dia tak gerak tak tahu nak fikir apa, sebab itu saya selalu berdoa kalau saya pergi, biarlah dalam keadaan saya bekerja begini’. Little did I know that came true this soon and too soon, ayah (tanpa saya ketahui yang doa ayah ini menjadi kenyataan dengan cepat),” katanya.
Fatihah berkata, arwah bapanya seorang yang lembut dan mendekati setiap anaknya seorang demi seorang untuk mengetahui perkembangan pembelajaran dan masalah dihadapi mereka.
"Ayah memang lembut. Jarang marah kami adik-beradik. Masa kami meningkat remaja ke dewasa ayah lebih banyak guna pendekatan ‘slow talk’. Ayah selalu panggil kami bergilir-gilir masuk ke bilik supaya dia boleh 'one to one' dengan kami. Selalunya kami agak cuak apabila sesi begini berlaku sebab selalunya ia berlaku apabila kami buat masalah.
"Tetapi tidak, kadang-kadang dia hanya bertanya ‘belajar semua macam mana? Ok?”. Selalunya dia akan selit untuk titip nasihat selepas itu. Mungkin kerana dia jarang berada di rumah dan masa itulah dia guna untuk nasihatkan kami untuk tidak menyusahkan emak,” katanya.
Fatihah berkata, keakrabannya mereka terbukti apabila arwah bapanya itu menangis kali pertama di hadapannya pada lima tahun lalu.
"Masa 5 tahun lepas, pernah sekali ayah panggil saya masuk bilik dan ayah menangis sebab ayah ada masalah ketika itu. Itulah kali pertama saya lihat ayah menangis dan itulah kali pertama saya yang menjadi pendengar ayah. Kemudian ada sekali kami berdua menangis kerana saya mengadu masalah kepada dia. Begitulah ayah. Pendengar yang sangat baik dan sentiasa menitip nasihat buat anaknya yang ada ketika begitu keras.
"Ayahlah pelembut hati saya ketika yang lain tidak boleh melembutkan saya. Ayahlah yang banyak mengajar saya bersabar, untuk mengawal kata-kata, untuk lebih memilih diam ketika marah,” katanya.
Fatihah memberitahu, arwah bapa dan ibunya juga mendidik mereka adik-beradik membuat keputusan sendiri dan bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan yang dibuat.
"Ayah dan emak mendidik kami membuat keputusan sendiri dan bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan sendiri. Pernah sekali saya keliru untuk tukar bidang pengajian ke bidang kaunseling. Ayah cakap kalau tukar course (kursus pengajian) nanti tak dapat jadi peguam, tapi fikirlah yang mana-mana baik,” katanya.
Fatihah menjelaskan, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu adalah medan pertama dan terakhir buatnya menjadi pengurus kempen bagi arwah bapanya itu.
"Little did I know that PRN-15 and PRU-15 would be the first and last (tanpa saya ketahui PRN-15 dan PRU-15 menjadi yang pertama dan terakhir) sebagai campaign manager (pengurus kempen) ayah. Tiada lagi berceramah sepentas dengan ayah masa kempen. Tiada lagi ceramah untuk ayah masa pilihan raya. Tiada lagi tugas untuk sediakan soalan bagi pertanyaan jawab lisan untuk sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. Tiada lagi tugas menguruskan borang calon ayah.
"Tiada sudah tempat untuk diri ini mengadu ketika tiada yang mendengar, tiada sudah titipan nasihat daripada ayah, tiada sudah ‘slow-talk’ dan ‘heart to heart’ session (sesi hati ke hati) dengan ayah.
"Berehatlah ayah. Tugasmu sudah selesai. Amanah yang ayah pikul sudah dilunaskan sebaiknya. Ayah terlalu penat lalu meninggalkan kami," jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Suasana pilu selubungi ketibaan jenazah Salahuddin
Belangsungkawa Datuk Seri Salahuddin Ayub
Jenazah Salahuddin selamat disolatkan di Masjid Al-Badar
Jenazah Salahuddin dikebumi di Pontian tengah hari Isnin
Jenazah Salahuddin akan disembahyangkan di Masjid Al-Badar
Salahuddin aktif pastikan tiada kenaikan harga barang - Mat Sabu
Salahuddin rakan baik, budiman - Sanusi
Pesawat khas bawa pulang jenazah Salahuddin ke Johor Bahru
Jenazah Salahuddin akan dikebumikan di Tanjung Piai