Gaji bermakna, kongsi kekayaan bina masyarakat saksama - PM

Iklan
Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memberi tumpuan untuk meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat menerusi Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat yang dilancarkan beliau pada Khamis.

Beliau berkata, ini merangkumi keperluan perlindungan sosial untuk semua, pekerjaan dengan gaji bermakna serta perkongsian kekayaan bagi membina masyarakat lebih saksama dan sejahtera.

Iklan
Iklan

"Kejayaan pembaharuan struktur ekonomi perlu dihitung setakat mana ia mampu mewujudkan lebih banyak pekerjaan dengan gaji yang bermakna kepada rakyat Malaysia,” kata beliau ketika berucap pada majlis peluncuran kerangka ekonomi baharu itu di sini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kadar upah dan gaji buruh berbanding jumlah keseluruhan pendapatan di Malaysia adalah sebanyak 32.4 peratus bagi tahun lepas.

Iklan

Beliau berkata, bagi mencapai perkongsian ekonomi yang lebih seimbang, kerajaan akan melaksanakan dasar yang menyokong peningkatan upah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ke tahap 45 peratus selaras dengan tahap negara lebih maju.

"Antara usaha termasuklah kajian semula tahap gaji minimum serta memperkenalkan undang-undang yang menjamin persekitaran kerja yang selamat dan selesa.

Iklan

"Selain pelaksanaan gaji minimum, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia sedang memperhalusi model gaji progresif ke arah kenaikan pendapatan yang lebih terangkum,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, peningkatan pendapatan selaras dengan produktiviti adalah kritikal bagi memastikan tahap kualiti hidup yang bermakna dalam menangani cabaran kos sara hidup.

Beliau berkata, negara ini perlu mengurangkan kebergantungan pada buruh asing kurang mahir yang menyumbang kepada nilai gaji keseluruhan yang rendah malah mengurangkan moral dan insentif majikan untuk berinovasi dan meningkatkan tahap berdaya saing.

Anwar berkata, justeru kerajaan berhasrat melaksanakan levi pekerja asing berperingkat iaitu sebahagian peningkatan hasil levi akan dikhususkan untuk program automasi serta latihan untuk pekerja tempatan.

RM10 juta untuk mudah cara proses pendaftaran taska, galak ibu kembali bekerja - PM

Dalam pada itu, usaha tuntas daripada aspek perundangan dan kawal selia serta program sokongan diperlukan bagi menggalakkan para ibu untuk kembali bekerja seterusnya merapatkan jurang jantina dalam pasaran buruh.

Anwar berkata, ini termasuk menangani isu sistemik seperti kerja-kerja penjagaan tanpa gaji, diskriminasi jantina serta dasar sokongan keluarga.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sebagai satu daripada inisiatif Ekonomi Penjagaan (Care-Economy), pusat jagaan kanak-kanak mampu milik akan disediakan yang dilihat berupaya meningkatkan kadar penyertaan wanita di alam pekerjaan.

"Kerajaan juga akan memudah cara proses pendaftaran dan memperluas program pemutihan taska dan pusat penjagaan kanak-kanak yang belum berdaftar di seluruh negara dengan peruntukan RM10 juta,” katanya.

Anwar berkata, kadar penyertaan buruh wanita perlu dipertingkat sehingga mencecah 60 peratus supaya Malaysia lebih setanding dengan ekonomi serantau.

Beliau berkata, kadar penyertaan buruh wanita masih di tahap rendah iaitu sekitar 55.5 peratus ketimbang lelaki 80.9 peratus dan jurang jantina berkenaan harus ditingkatkan sehingga mencecah 60 peratus.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memperluas jaringan perlindungan sosial dengan tiga tunjang untuk melindungi rakyat sekiranya berlaku hal-hal tidak diingini.

Ujarnya, satu daripada tunjang berkenaan adalah pencegahan melalui insurans sosial yang mencadangkan agar liputan perlindungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ke atas populasi umur bekerja secara berperingkat mengikut fasa.

"Kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi tahun 2023 untuk menyediakan 80 peratus geran bagi membiayai caruman Perkeso pekerja gig. Bagaimanapun, menurut data KWSP lebih 40 peratus tenaga buruh tidak mendapat perlindungan untuk simpanan,” katanya.

Tunjang kedua pula adalah menambah baik kemampanan simpanan persaraan bagi memastikan tahap simpanan mencukupi untuk menampung kehidupan rakyat yang akan menempuh alam persaraan, katanya.

Satu lagi tunjang adalah perlindungan melalui bantuan sosial dengan kerajaan akan meneruskan serta menambah baik pelbagai program bantuan tunai dan program Rahmah.

Anwar berkata, kerajaan juga akan terus mengukuhkan sistem insurans pekerjaan serta program latihan semula bagi menyediakan penganggur dengan pekerjaan selaras dengan peralihan daripada melindungi pekerjaan kepada melindungi pekerja dalam konteks ekonomi yang cepat berubah. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Bantuan khas RM300 kepada penjawat awam, RM200 pesara

Malaysia sasar di kedudukan 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2033

Kerajaan setuju tawar kredit e-tunai RM100 kepada rakyat

Kerajaan, GLIC labur RM1 bilion dana tambahan sokong syarikat pemula tempatan

Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat angkat dua tumpuan utama

Ekonomi Madani tetapkan tujuh penanda aras - PM