Anwar, Ketua Eksekutif Hong Kong adakan pertemuan empat mata

Iklan
Anwar bersama John Lee Ka-chiu semasa menerima kunjungan hormat Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) itu di Bangunan Perdana Putra pada Khamis. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), John Lee Ka-chiu pada Khamis mengadakan pertemuan empat mata di Putrajaya bagi membincangkan usaha meningkatkan hubungan dua hala serta usaha meneroka peluang kerjasama.

Pertemuan itu berlangsung di Perdana Putra di sini yang bermula pada kira-kira 1.15 tengah hari, sebaik ketibaan John ke negara ini bagi memulakan lawatan kerja tiga hari ke Malaysia.

Iklan
Iklan

Ini merupakan lawatan sulung John ke Malaysia selepas menyandang jawatan sebagai Ketua Eksekutif HKSAR kelima pada 2022.

Anwar dan John dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan semasa kerjasama dua hala dan langkah ke hadapan, terutama dalam bidang perdagangan dan ekonomi, inovasi dan teknologi serta pertukaran antara rakyat.

Iklan

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

John mengetuai delegasi yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan HKSAR, serta wakil daripada pelbagai sektor termasuk perindustrian dan komersial, perdagangan, inovasi dan teknologi serta pengangkutan dan logistik.

Iklan

John juga dijadual menghadiri forum perniagaan Malaysia-Hong Kong dan menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MOU) antara entiti perniagaan ketika berada di Malaysia. - Bernama