Wujudkan semula Lembaga Padi Sabah - Hajiji

Iklan
Jeffrey (dua dari kanan) ketika merasmikan majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Sabah 2023 di Wisma Pertanian Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri (Maffi) kini dalam proses mewujudkan semula Lembaga Padi Sabah bagi membangunkan industri padi dan beras di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah itu dijangka dapat meningkatkan paras tahap Sara diri (SSL) beras Sabah kepada 60 peratus menjelang 2030.

Iklan
Iklan

"Ketika ini, SSL beras Sabah berada pada paras 22 peratus manakala 78 peratus keperluan beras di negeri ini ditampung melalui beras import daripada negara seperti China, Vietnam, Thailand dan Pakistan.

"Kita berharap dengan pewujudan semula Lembaga Padi Sabah ini akan dapat meningkatkan paras tahap SSL beras negeri, sekali gus dapat mengurangkan beras import," katanya dalam teks ucapan yang disampaikan oleh timbalannya, Datuk Seri Jeffrey Kitingan pada Khamis.

Iklan

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri menyampaikan ucapan itu pada majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Sabah 2023 di Wisma Pertanian, di sini.

Dalam ucapan sama, Hajiji turut berkata, kerajaan negeri juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas kabinet bagi menangani isu SSL di negeri ini yang diketuai oleh Maffi.

Iklan

"Saya berbangga dengan usaha gigih Maffi dan agensi-agensi di bawahnya serta agensi kerajaan Persekutuan yang telah menggembleng tenaga bersatu padu menjayakan matlamat meningkatkan SSL pengeluaran semua jenis bahan makanan di negeri ini.

"Antara isu yang dikenal pasti berkaitan dengan keluasan kawasan sawah yang semakin kurang kerana telah digunakan menjadi kawasan pembangunan perumahan dan kedai komersial.

"Ia dimajukan secara bersepadu oleh Maffi dan agensinya iaitu Korporasi Pembangunan Desa (KPD), Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran dengan penglibatan pihak sektor swasta serta penduduk Trusan Sapi sebagai peserta penanaman padi," katanya.

Tambah Hajiji lagi, semua usaha itu bagi menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan menghasilkan lebih banyak produk pertanian bernilai tinggi untuk tujuan komersial yang berupaya merangsang pertumbuhan sektor berkenaan.

"Sektor pertanian, perikanan dan penternakan mempunyai potensi sangat besar untuk terus dibangunkan di negeri ini," katanya.