KUANTAN - Kematian seorang lelaki yang mayatnya ditemui dalam sebuah kereta terbakar di kawasan parkir, Jalan Putra Square 7, Sri Dagangan di sini pada Khamis dipercayai tidak melibatkan unsur jenayah.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, setakat ini kes yang dipercayai berlaku kira-kira jam 6 pagi itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Iklan
Iklan
Menurutnya, mayat mangsa ditemui di tempat duduk pemandu dalam keadaan terbaring dan kerusi diturunkan.
"Ketika ditemui mayat mangsa dalam keadaan 80 peratus terbakar manakala kereta jenis Nissan Almera yang digunakan musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu.
"Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan namun setakat ini tidak melibatkan unsur jenayah," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, siasatan juga mendapati kereta yang musnah terbakar itu didaftarkan atas nama rakan mangsa.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat," katanya.