PRN: Amanah Kelantan lebih semangat kerana sokongan UMNO

Iklan
Wan Abd Rahim

KOTA BHARU - Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan lebih bersemangat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini apabila menerima sokongan UMNO bahagian terutama di kawasan lemah.

Pengarah Pilihan Raya Amanah Kelantan, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata, sokongan itu diterjemahkan oleh kepimpinan UMNO peringkat bahagian yang turun padang bersama-sama menghadiri program-program dianjurkan Amanah di negeri itu.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, perkara tersebut amat memberangsangkan sekali gus dapat memperkukuhkan perpaduan antara parti-parti menjelang pilihan raya itu.

"Saya lihat selepas pembubaran DUN, kehadiran pemimpin UMNO bahagian termasuk wanita ke program-program dan Bilik Gerakan sangat ramai.

Iklan

"Kehadiran mereka ini sangat membantu memberikan semangat kepada Amanah yang dilihat agak lemah di beberapa bahagian seperti di DUN Temangan, Machang yang jauh di pedalaman,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Bicara Kenaf LKTN di Jalan Kebun Sultan di sini pada Khamis.

Ujar Wan Abd Rahim, impak perpaduan yang kukuh itu diharap dapat diterjemahkan dengan kemenangan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (BN-PH) sekurang-kurangnya di 23 DUN pada 12 Ogos nanti.

Iklan

Dalam pada itu, respon beliau berkait isu ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kota Bharu yang menyuarakan kekecewaan selepas kerusi DUN Kota Lama diserahkan kepada Amanah, akan diselesaikan secara baik.

"Saya pun tak tahu bagaimana perkara ini boleh timbul tetapi akan cuba menanganinya dengan baik atas dasar setia kawan antara Amanah dan PKR.

"Pada 22 Julai lalu, rundingan diadakan di peringkat pimpinan pusat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Saifuddin Nasution, Datuk Seri Mohamad Sabu, Khalid Samad dan Dr Hatta Ramli sementara saya tidak terlibat,” katanya.

Beliau berkata, selepas sebulat suara, Anwar membuat keputusan DUN Kota Lama diberikan kepada Amanah untuk ditandingi.

Sebelum itu, pihak PKR cabang berkenaan mendakwa kerusi itu sepatutnya diberikan kepada PKR sebagaimana yang diuar-uarkan selain meluah rasa kecewa kerana sudah membuat persiapan rapi dan gerak kerja lebih awal.