GEORGETOWN- Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah Pakatan Harapan (PH) akan terus komited memartabatkan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan memperkasakan syiar Islam di negeri ini.
Bagi tahun ini, Kerajaan Pulau Pinang menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM75.08 juta bagi memperkasakan pembangunan agama Islam di negeri ini.
Ia merangkumi pembangunan bagi tujuan pembinaan, pembaikan dan naik taraf masjid, surau dan sekolah agama, bayaran bantuan pendidikan untuk sekolah agama serta bayaran guru KAFA dan pegawai masjid.
Selain itu, ia juga melibatkan peruntukan mengurus jabatan negeri berkaitan hal ehwal agama Islam, peruntukan bagi pelaksanaan program dan majlis agama serta lain-lain perbelanjaan berkaitan hal ehwal agama Islam.
Kerajaan Pulau Pinang juga menyediakan bajet berjumlah RM3.52 juta untuk Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2023 selepas Pulau Pinang dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi majlis tersebut.
Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Datuk Kamarudin Abdullah berkata, sejak PH memerintah di Pulau Pinang, secara dasarnya IPSI bergerak dengan tenang dan bebas untuk berdakwah terhadap orang bukan Islam.
Menurutnya, pelbagai program yang dirancang berjalan dengan baik antaranya jelajah masjid di beberapa masjid seperti di Masjid Kapitan Keling, Masjid Terapung dan Masjid Tarik Air.
"Kami bebas berdakwah malah orang-orang Cina juga menziarahi masjid. Tiada halangan daripada kerajaan negeri.
"Selain itu, setiap bulan kami mengadakan dakwah jalanan (street dakwah) yang menyantuni ribuan orang bukan Islam, itu pun tiada masalah. Langsung tiada sekatan mahu pun gangguan daripada kerajaan negeri," katanya.
Untuk rekod, selain masjid-masjid yang sedang dalam pembinaan sekarang, turut dalam perancangan bagi tahun 2022 sehingga tahun 2025 adalah pembangunan tujuh buah masjid iaitu Masjid Papan di Seberang Jaya, Masjid Sungai Lokan dan Masjid Sungai Dua Utama di Butterworth, Masjid Bandar Raya Seberang Perai di Bandar Cassia, Masjid Lama Sungai Bakap dan Masjid Lama Sungai Kechil di Nibong Tebal serta Masjid Bandar Putra Bertam di Bertam.
Jumlah pembiayaan oleh kerajaan negeri untuk pembangunan masjid adalah sebanyak RM18 juta.
Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Mohd Arif Abdul Samat berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM16.811 juta untuk Bantuan Sekolah Agama Rakyat (SAR) sejak 2018 hingga tahun ini.
Menurutnya, ia bagi membantu operasi sekolah agama, membantu menyediakan fasiliti dan kemudahan sekolah, membantu memberi latihan kaedah pengajaran guru agama serta meningkatkan taraf pendidikan dan kurikulum.
"Kerajaan Pulau Pinang menyalurkan RM2.19 juta kepada 324 buah sekolah agama di negeri ini," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Datuk Amran Hazali berkata, jumlah kutipan zakat tahun lalu keseluruhannya yang direkodkan adalah RM150,144,855.61 dan jumlah ini meningkat daripada jumlah kutipan zakat pada 2021 dengan kadar lonjakan 1.97 peratus atau RM2,905,083.22.
"Zakat Harta mencatatkan jumlah kutipan RM143,546,763.64 berbanding RM141,219,358.71 pada tahun 2021.
"Peningkatan ini didorong oleh pertambahan jumlah muzakki 2.76 peratus yang mewakili 77,895 muzakki (pembayar zakat) berbanding 75,746 muzakki pada 2021,"katanya.
Tambah beliau, kutipan Zakat Fitrah bagi 2022 juga meningkat 9.59 peratus iaitu RM6,598,091.97 berbanding RM6,020,413.68 pada tahun sebelumnya.
"Agihan zakat pada tahun lalu pula meningkat 9.11 peratus iaitu RM155,178,694.81 berbanding RM142,224,809.10 pada 2021.
"Bilangan penerima zakat atau mustahiq pada 2022 seramai 40,243 orang iaitu penyusutan 1.15 peratus berbanding 40,711 mustahiq pada 2021.
Pegawai pentadbiran, Nor Hashimah Ishak, 31 berkata, setiap tahun peruntukan untuk memperkukuh institusi Islam dan pembangunan Islam di negeri ini semakin bertambah.
"Perkembangan syiar Islam sama seperti negeri-negeri lain cuma Pulau Pinang sering dilemparkan tuduhan tidak berasas demi kepentingan politik.
"Kebajikan umat Islam akan terus terpelihara dengan kukuhnya institusi Islam di Pulau Pinang seperti Zakat Pulau Pinang yang sentiasa cekap dan menjalankan amanah dengan baik. Ini terbukti apabila setiap tahun kutipan dan agihan zakat meningkat untuk membantu golongan yang memerlukan," katanya.
Pengurus pentadbiran, Nurhafiza Huda Idris, 35 berkata, sebagai anak jati Pulau Pinang, dia tidak pernah merasai penyebaran syiar Islam di negeri ini tidak diutamakan berikutan pelbagai pencapaian yang dilakukan oleh kerajaan negeri.
"Banyak perkara yang dilakukan oleh kerajaan negeri antaranya kenaikan elaun guru-guru KAFA, pertambahan dana untuk menaik taraf surau dan masjid serta lebih banyak fasiliti ditambah baik untuk kemudahan orang Islam di Pulau Pinang.
"Selain itu, bantuan sekolah agama rakyat juga semakin meningkat dari tahun ke tahun. Ia boleh digunakan untuk pengurusan dalam menaik taraf fasiliti dan kemudahan pendidikan umat Islam," katanya.