PUTRAJAYA - Waktu pembelajaran mengenai reproduktif manusia akan dicadang untuk ditambah bagi menimbulkan kesedaran murid dan pelajar mengenai kelakuan seksual, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) Bil.2 Tahun 2023 di sini pada Khamis, beliau berkata, saranan itu dibuat selepas MSN dimaklumkan isu perlakuan seksual melibatkan remaja seawal usia 13 tahun yang dilihat semakin membimbangkan.
Beliau berkata, isu berkenaan akan dibawa ke pengetahuan Jemaah Menteri tidak lama lagi oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri bagi membolehkan langkah drastik menangani masalah itu dikenal pasti.
Ahmad Zahid berkata, MSN hari ini akan meminta Jemaah Menteri mengambil pertimbangan dan tindakan segera berhubung isu penipuan dalam talian yang kerugiannya menghampiri RM1 bilion setahun.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) memerlukan peralatan canggih bagi menangani kes penipuan dalam talian selain perjawatan baharu.
"Kita merasakan tindakan segera perlu dilakukan dan kita harap tidak akan berlaku pemangsaan kepada aktiviti penipuan ini kerana ianya akan menimbulkan masalah sosial cukup besar,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, mesyuarat MSN juga bersetuju supaya Bank Negara Malaysia (BNM) mengarahkan cawangan bank menyediakan kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
"Kita tahu Perkhidmatan Perbankan Mesra OKU mesti dilakukan. Kita tahu ada kekangan dan ianya memerlukan beberapa tindakan dan kita bersetuju ia dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.
Dalam sidang media sama, Nancy memaklumkan Kertas Kabinet berkaitan isu perlakuan seksual melibatkan remaja akan disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.
Beliau berkata, isu seksual melibatkan remaja adalah membimbangkan berdasarkan kaji selidik terhadap remaja tidak berkahwin berusia 13 hingga 24 tahun yang dilaksanakan KPWKM.
"Kita (KPWKM) telah anjur program pendidikan kesihatan reproduktif di merata tempat dan kali ini kita ingin panjangkan ke sekolah,” katanya.
Berdasarkan kaji selidik yang dikongsikan KPWKM, sebanyak 68.8 peratus remaja berusia 16 hingga 24 tahun pernah melakukan hubungan seks manakala 31.2 peratus remaja berusia 13 hingga 15 tahun juga pernah melakukan hubungan jenis. - Bernama