SKUAD Harimau Malaya mempunyai peluang untuk mara ke pusingan seterusnya selepas diundi dalam Kumpulan D bersama Oman dan Kyrgyzstan dalam aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November depan.
Selain Oman dan Kyrgyzstan, skuad kendalian Kim Pan-gon itu turut akan berdepan pasukan yang menang perlawanan pusingan pertama antara Taiwan atau Timor Leste untuk melengkapkan senarai pasukan dalam kumpulan tersebut.
Melihat kepada undian itu, Harimau Malaya perlu mencatur strategi terbaik selepas mempunyai potensi besar untuk melangkah jauh dengan Oman yang berada di ranking ke-73 dunia mungkin menjadi halangan utama dalam kumpulan itu.
Kyrgyzstan pula yang berada di ranking ke-97 dunia sudah tentu mampu dicabar pasukan negara, selain misi perlu menang ke atas Taiwan atau Timor Leste.
Aksi kelayakan itu akan berlangsung secara round robin dengan perlawanan akan diadakan di tempat sendiri dan tempat lawan.
Dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan mara ke Piala Asia 2027 dan pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2026.
Dalam pada itu, Thailand pula diundi dalam Kumpulan C dan akan menentang jaguh Asia iaitu Korea Selatan dan China selain pemenang pusingan pertama sama ada Singapura atau Guam.
Vietnam pula diundi dalam Kumpulan F dan perlu berhadapan Iraq serta Filipina dan pemenang antara Indonesia atau Brunei.