Dominic nafi guna 'kabel' dapatkan kerusi DUN Bayan Lepas

Iklan
Dominic (tengah) pada sidang akhbar di Pejabat Gerakan Pulau Pinang, pada Khamis.

GEORGETOWN - Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai nafi menggunakan 'kabel' bagi mendapatkan kerusi DUN Bayan Lepas untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, 12 Ogos ini.

Menurutnya, proses pemilihan calon oleh Perikatan Nasional (PN) adalah telus dan keputusan akhir ditentukan Majlis Presiden sebelum senarai diumumkan.

Iklan
Iklan

"Mana ada guna kabel...proses memilih calon itu adalah satu proses yang kita katakan 'transparent'.

"Peringkat negeri hanya boleh bagi cadangan dan pusat akan buat keputusan dan akhirnya akan ditentukan oleh Majlis Presiden PN.

Iklan

"Ini adalah proses yang kita gunakan bukan hanya pada sekarang tetapi dipraktikkan pada PRN Melaka, Johor dan PRU15 lalu," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Gerakan Pulau Pinang, di sini pada Khamis.

Terdahulu, PN setuju untuk meletakkan Dominic sebagai calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas.

Iklan

Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan timbul konflik penamaan calon selepas Pas Dun Bayan Lepas menyuarakan ketidakpuasan hati susulan hasrat Dominic untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Mereka menetapkan pendirian untuk memboikot proses penamaan calon sekiranya Dominic masih berkeras untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Mengulas mengenai perkara itu, Dominic berkata, apa yang berlaku adalah masalah komunikasi di antara PN Pulau Pinang dan ia akan diselesaikan secara dalaman dengan baik.

"Saya anggap perkara ini berlaku kerana kekurangan komunikasi antara PN Pulau Pinang. Apa-apa isu yang kita ada, cabaran yang dihadapi oleh PN semua itu akan diselesaikan secara dalaman dan bukan lah dekat media.

"Mungkin kita akan buat penjelasan dan penerangan dalaman di peringkat PN Pulau Pinang," katanya.