IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengesan kewujudan plastik hitam mengandungi bungkusan makanan dipercayai untuk dijual kepada pelanggan Muslim yang tidak berpuasa.
Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, bagaimanapun hasil pemantauan di beberapa premis makanan semalam tiada individu Muslim yang ditangkap kerana makan di premis.
Beliau berkata, beberapa individu Muslim yang ditemui di premis-premis tersebut diberikan nasihat agar menghormati bulan Ramadan.
"Kita nasihatkan orang Islam dan peniaga supaya menghormati kesucian bulan Ramadan. Tindakan boleh diambil ke atas mana-mana individu yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan makan secara terbuka di tempat awam.
"Malah, ada individu bukan Islam yang lapor kepada JAIPk bahawa mereka tidak selesa melihat tindak tanduk orang Islam yang tidak menghormati bulan Ramadan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Mohd Yusop berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan secara mengejut di premis-premis tumpuan individu yang menjadi pilihan individu tidak berpuasa ini.
Beliau turut menasihati pemilik premis supaya tidak bersekongkol dengan menyediakan makanan kepada mereka pada siang hari.
"Mereka ini sepatutnya malu dengan orang bukan Islam kerana ada dalam kalangan mereka yang tidak selesa melihat keadaan itu.
"Kita mengalu-alukan mana-mana pihak untuk membuat laporan kepada JAIPk jika ada kegiatan menjual makanan atau makan di premis pada siang hari," katanya.
INFO
Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992
Seksyen 24: Tidak menghormati Ramadan.
Seseorang yang pada siang hari di dalam bulan Ramadan-
(a) menjual apa-apa makanan, minuman atau tembakau kepada seseorang yang beragama Islam untuk dimakan, diminum atau dihisap dengan serta merta; atau
(b) dengan terang-terang atau di tempat awam didapati sedang makan, minum atau menghisap tembakau, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.