Liputan isu guru bermasalah perlu adil - PM

Iklan
Anwar (empat dari kiri) menyampaikan Anugerah Utama Guru Madani Negeri Sembilan kepada Bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, Roslin Balia (tiga dari kanan) pada Majlis Apresiasi Guru-Guru Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban pada Khamis. - FOTO: BERNAMA

SEREMBAN - Isu melibatkan guru-guru yang bermasalah tidak menggambarkan secara keseluruhan golongan itu di negara ini sebaliknya majoritinya berjaya menjalankan tugas dan khidmat mereka adalah luar biasa baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu beliau menekankan bahawa perkara berkenaan perlu mendapat liputan lebih adil khususnya di dalam media.

Iklan
Iklan

"Kadangkala kita tengok dalam media dan media sosial, memang ada salah satu dua orang guru dalam ramai-ramai guru itu, kadang-kadang pelajar takut mahu pergi sekolah kerana guru garang sangat ataupun kasar sangat, takkanlah satu dua itu mewakili ratusan ribu guru lain.

"Sebab itu saya masih menekankan bahawa liputan media itu harus adil, majoriti guru itu berjasa, saya masih ingat lagi, dalam pengalaman saya dengan puluhan guru dari Tahun Satu sehingga Tingkatan Enam umpamanya dan kemudian di Universiti Malaya (UM). Mungkin ada satu dua guru yang bermasalah tetapi keseluruhan guru itu sangat baik dan berjasa," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Guru Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Anwar turut menyampaikan Anugerah Guru Madani Negeri Sembilan Tahun 2023, Anugerah Pemimpin Pendidikan Madani Negeri Sembilan Tahun 2023 pada majlis berkenaan.

Iklan

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan akan sentiasa memberikan keutamaan dalam aspek pendidikan kerana berpandangan bidang lain seperti ekonomi, kemampanan, ihsan dan rahmah itu adalah asasnya dari bidang pendidikan.

"Sebaik sahaja saya ambil alih pada bulan November tahun lalu, bentangkan Belanjawan Madani, jumlah peruntukan terbesar yang dibuat oleh Kerajaan Perpaduan adalah kepada Kementerian Pendidikan, dunia pendidikan memperoleh sebanyak RM2 bilion tambahan.

"Ketika saya masuk sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, hutangnya RM1.5 trilion, saya tidak mahu hutang lagi kerana anak-anak kita yang harus bayar.

"Kalau tak mahu hutang saya kena potong, saya tidak mahu potong peruntukan Kementerian Pendidikan (KPM) kerana ini pelaburan masa depan, melatih anak-anak dengan satu kekuatan, semangat dan cita-cita, akhlak dan nilai serta ketrampilan masing-masing," katanya.

Dalam pada itu Anwar berkata, akan memastikan tandas rosak dan kemudahan asas lain di sekolah seluruh negara diselesaikan sebelum bulan Disember tahun ini.

"Berapakah jumlah yang diperlukan? Tandas rosak, bumbung, tiada kipas, dinding bocor dan klinik desa, untuk tahun ini sahaja yang diperlukan adalah sebanyak RM1.4 bilion. Kita ada masalah daripada segi kewangan tetapi masih kita cari.

"Saya mahukan tindakan segera, percepatkan tender, saya panggil semua pegawai daerah dari seluruh negara dan kata berikan tumpuan kepada sekolah, ada lagi masalah?

"Kalau tak boleh berikan cepat, serahkan wang kepada PIBG tetapi sebelum Disember tahun ini saya tidak mahu satu sekolah pun ada masalah tandas dan kemudahan asas," katanya.