KUALA KANGSAR - Sekolah Kebangsaan (SK) Datin Khadijah di sini mengorak langkah baharu memperluaskan bidang pendidikan khas ke peringkat antarabangsa.
Satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara sekolah berkenaan dan Sekolah Wilayah Kogashima Jepun berhubung kerjasama jalinan budaya dan perkongsian pintar dalam kalangan murid pendidikan khas di negara ini.
Guru Besarnya, Hamisah Hussain berkata, program 'Study Tour' melibatkan 15 murid, empat guru dan dua wartawan dari negara itu memberi pengalaman baharu untuk mereka mendalami bidang tersebut.
"Kaedah silang budaya dan pendidikan ini membolehkan kami mempelajari elemen yang sesuai untuk kedua-dua negara ini.
"Pihak sekolah juga dapat mewujudkan satu jaringan antarabangsa sekali gus memperkenalkan pendidikan khas melalui kemenjadian murid dan corak pembelajaran yang unik kepada delegasi Jepun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri, Eni Zanifah Mohd Jaberi.
Tambah beliau, murid dari negara matahari terbit itu dapat merasai keunikan budaya dengan persembahan tarian, silat dan persembahan angklung oleh murid program pendidikan khas, Selasa lalu.
"Delegasi terbabit tidak ketinggalan mempersembahkan dua lagu Jepun dan lagu bahasa Melayu 'Rasa Sayang'.
"Mereka juga dibawa melawat kelas Program Pendidikan Khas Integrasi dan menjalankan aktiviti pergerakan melalui nyanyian di Bilik Terapi Multisensori selain beramah mesra bersama murid istimewa ini," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Sukarelawan Kerjasama Luar Negara Jepun, Wilayah Kagoshima, Yumiba Akinobu berkata, Malaysia merupakan negara ke-8 dalam lawatan Jepun ke negara-negara di Asia.
"Terima kasih menerima kehadiran kami terutama di daerah Kuala Kangsar.
"Usaha ini diharapkan menjadi permulaan terhadap jalinan dan jaringan antarabangsa antara kedua-dua negara ini pada masa akan datang," katanya.