SEREMBAN - Kajian menyeluruh berhubung skim gaji dan persaraan penjawat awam perlu mengambil masa enam hingga lapan bulan sebelum dibentang ke mesyuarat kabinet.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Perpaduan komited meningkatkan pendapatan penjawat awam malah akan melihat secara menyeluruh berhubung skim tersebut dalam mesyuarat yang akan dipengerusikannya nanti.
"Kerajaan akan membuat kajian menyeluruh termasuk gaji guru, mungkin mengambil masa enam hingga lapan bulan untuk selesaikan semua.
"Seterusnya saya akan bentangkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan tertakluk kepada peningkatan hasil dalam negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Guru-Guru Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Anwar berkata, unjuran hasil negara juga lebih baik daripada unjuran awal kerana lebih ramai membayar cukai.
Dalam pada itu katanya, sementara menunggu laporan skim tersebut disiapkan, kerajaan telah mengumumkan sumbangan khas kepada penjawat awam dan pesara yang akan disalurkan dua minggu lagi.
"Saya boleh umum RM1,000 tetapi saya tidak mahu tambah hutang lagi sebab hutang negara terlalu tinggi, itu pun banyak peruntukan pembaziran telah dipotong,” katanya.
Sebelum ini, Anwar mengumumkan kerajaan menyediakan bantuan khas penghargaan RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah dan bantuan RM200 kepada pesara kerajaan iaitu memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam termasuk lantikan kontrak, serta lebih sejuta pesara.
ARTIKEL BERKAITAN: